Ahli Parlimen pembangkang termasuk Dr Mahathir desak Parlimen bersidang 2 minggu


Ahli Parlimen pembangkang mendesak sidang Parlimen diadakan sekurang-kurangnya dua minggu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mei, 2020.

Ahli Parlimen Pakatan Harapan, Bersatu dan Warisan mendesak Dewan Rakyat bersidang selama dua minggu bermula 18 Mei ini.

Dalam kenyataan bersama, mereka berkata tiada alasan untuk kerajaan menghadkan persidangan itu sehari selepas Putrajaya menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) bermula hari ini.

“Memandangkan Parlimen telah memutuskan SOP bagi membolehkan persidangan pada 18 Mei diadakan, dan memandangkan banyak aktiviti sudah mula dibenarkan bersyarat, maka sebenarnya tiada alasan atau halangan bagi Parlimen untuk bersidang penuh lebih dari sehari yang telah diumumkan,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama.

Kenyataan itu ditandatangani oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal, Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Kit Siang.

Mereka berkata persidangan itu membolehkan pelbagai isu dibahaskan dan Putrajaya meneruskan tugas legislatifnya.

“Oleh yang demikian, kami menggesa kerajaan untuk segera melaksana sidang Parlimen penuh dengan menambah jumlah hari persidangan ke sekurang-kurangnya dua minggu.”

Jumaat lepas, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan Putrajaya akan melonggarkan perintah kawalan pergerakan dan membenarkan aktiviti ekonomi dijalankan semula.

Bagaimanapun, perhimpunan massa masih belum dibenarkan.

Parlimen sepatunya bersidang selama 15 hari bermula 18 Mei ini tetapi wabak Covid-19 memaksa ia dijalankan hanya sehari sahaja. – 4 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen