RAMAI rakyat Malaysia meluahkan kesyukuran kerana kompleks beli belah kembali di buka walaupun negara masih berada di bawah perintah kawalan pergerakan, membolehkan mereka meneruskan kehidupan seperti biasa.
Kerajaan membenarkan hampir semua perniagaan kembali beroperasi hari ini termasuklah kompleks beli belah serta perkhidmatan makan dalam restoran dengan syarat semua keperluan kebersihan dan kesihatan dipatuhi.
Tinjauan dibuat The Malaysian Insight mendapati walaupun tidak semua kedai sudah dibuka, ia tidak menghalang orang ramai untuk datang membeli belah.
Di KL Sentral misalnya, hampir semua kedai masih ditutup. Situasi tidak banyak berbeza di KLCC, di mana kebanyakan kedai dibuka untuk menjalankan proses nyah kuman dan persiapan menyambung semula operasi.
Hanya beberapa orang pengunjung di lihat berada di sana.
Salah seorang pengunjung yang ditemui, Tan B.L berkata beliau gembira melihat lebih banyak kereta dan orang ramai berada di luar.
“Saya rasa gembira sebab kehidupan kembali normal. Sangat tertekan tengok tempat kosong.
“Juga PKP sangat tak selesa.”
Beliau yang berusia 58 tahun dan bekerja mengikut shif sepanjang PKP dikuatkuasa pada 18 Mac lalu, percaya selagi mana orang ramai menjaga kebersihan diri, memakai topeng dan tidak berkumpul, masalah tidak akan wujud.
Pusat pemeriksaan suhu badan dan petanda barisan dapat dilihat dengan jelas di pintu masuk KL Sentral dan KLCC.
Jurubank Fadzli Yassin juga lega kompleks beli belah kembali dibuka, memudahkannya membeli barangan harian.
“Saya lega sekarang kerana saya boleh beli barang dan buat lebih banyak benda di kompleks beli belah.
“Saya ke KLCC hari ini dan baiki cermin mata. Sebelum ini, kedai tutup,” katanya. – 4 Mei, 2020.
Komen