SEMUA pekerja asing dari semua sektor wajib menjalani saringan kesihatan Covid-19 untuk mengelak penularan jangkitan, kata Menteri Kanan Pertahanan Ismail Sabri Yaakob.
Katanya ketetapan itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara hari ini memandangkan jumlah jangkitan meningkat semula dan berkait dengan kluster pekerja asing.
“Semua pekerja asing di semua sektor sama ada pembinaan, perkilangan atau komersial lain termasuk kedai makan, buat saringan kesihatan Covid-19 atau swab test.
“Kos saringan ini perlu ditanggung oleh majikan mereka dan kementerian kesihatan bercadang memulakan swab test ini di Wilayah Persekutuan dan Selangor,” katanya dalam sidang media.
Katanya ia sebagai langkah pencegahan seterusnya selepas kluster baharu dikesan di kalangan pekerja asing, dengan kes terbaharu di kawasan pembinaan di Jalan Ampang.
Seramai 28 kes didapati positif di kawasan pembinaan itu sejak Sabtu lalu selepas seorang daripadanya tampil mendapatkan rawatan di sebuah klinik berhampiran.
Ismail berkata tapak pembinaan tersebut kini sudahpun ditutup dan tindakan sama akan dikenakan ke atas premis perniagaan, kilang atau kawasan dengan kes positif melibatkan pekerja berkenaan.
“Jika ada positif Covid-19 di kalangan pekerja mereka maka kilang atau sektor tersebut akan ditutup serta merta,” katanya.
Beliau juga mengumumkan, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sekitar Masjid India di Kuala Lumpur berakhir semalam selepas operasi menahan pendatang asing tanpa izin.
Perintah PKPD yang berakhir itu melibatkan kawasan Selangor Mansion, Malayan Mansion dan Menara Plaza City One.
Ratusan pendatang tanpa izin ditahan dalam operasi bermula 1 Mei dari kawasan tersebut dan kemudiannya dihantar ke depoh imigresen.
Turut berakhir, PKPD di Parcel A dan (Jalan 6/3A, Pusat Bandar Utara) and Parcel B (Jalan 6/3A and 9/3A, Pusat Bandar Utara) yang terletak di sekitar Bandar Utara dan Pasar Borong Kuala Lumpur.
PKPD di enam lagi kawasan sekitar pula dilanjutkan sehingga 12 Mei. Ia meliputi:
- Parcel C (Jalan 2/3A, Pusat Bandar Utara)
- Parcel D (Jalan 2/3A, Pusat Bandar Utara)
- Parcel E1 (Taman Sri Murni Fasa 2, Jalan 1/2D).
- Parcel E2 (Taman Sri Murni Fasa 1, Jalan 1/2D)
- Parcel E3 (Taman Sri Murni Fasa 3, Jalan 1/2B)
- Parcel F (Taman Batu View and Taman Batu Hampar).
PKPD di sebuah sekolah tahfiz dan sebuah rumah di Sungai Lui, Hulu Langat pula akan berakhir esok, katanya.
Kebanyakan kes positif yang dikesan dari kawasan berkenaan didapati melibatkan warga asing. – 4 Mei, 2020.
Komen