KEMENTERIAN Pengangkutan sedang mengkaji mengenakan hukuman penjara terhadap mereka yang disabitkan bersalah memandu dalam keadaan mabuk, kata Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong.
“Jika perlu melakukan pindaan kepada Akta Pengangkutan Jalan 1987, kami akan buat. Hukuman penjara mandatori mungkin boleh beri kesedaran kepada mereka yang hendak memandu dalam keadaan mabuk.
“Jika hukuman penjara mandatori diwartakan, mahkamah tidak ada pilihan selain menjatuhkan hukuman sedemikian,” katanya.
Undang-undang seperti itu perlu dibincangkan dengan Pejabat Peguam Negara, katanya.
Wee berkata demikian mengulas insiden seorang pemandu mabuk hilang kawalan dan melanggar seorang pegawai polis yang sedang bertugas di sekatan jalan raya di Lebuhraya Kajang-Seremban semalam.
Dalam insiden pada 2.11 pagi itu, Safwan Muhammad Ismail, 31, dari ibu pejabat polis daerah Kajang meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan serius di kepala dan badannya selepas sebuah kereta Toyota Hilux merempunya.
Wee menasihatkan rakyat Malaysia yang minum alkohol supaya tidak memandu, sebaliknya menggunakan khidmat e-hailing. – 4 Mei, 2020.
Komen