Peguam sibuk tangani kes tangkapan PKP 


Desmond Davidson

Di bawah perintah kawalan pergerakan, orang ramai tidak dibenarkan keluar umah selepas pukul 8 malam dan mereka yang gagal mematuhinya boleh dikenakan hukuman denda dan penjara.– Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mei, 2020.

HUKUMAN yang dipersoalkan dan penangkapan hampir 2,000 orang kerana melanggar perintah kawalan pergerakan di Sarawak membuatkan sebilangan peguam muda dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan sibuk.

Yayasan berkenaan menyediakan bantuan guaman percuma kepada mereka yang tidak mampu.

Peguam seperti Berrylin Ng, yang masih baru dalam bidang itu, dalam tiga hari diberikan 22 kes untuk dikendalikan.

Di kala rakyat diminta kekal berada di rumah, bagi peguam dan mahkamah ia merupakan waktu yang sibuk, kata Ng yang baru dipanggil ke Badan Peguam Sarawak November lalu.

Ada satu masa, Mahkamah Majistret Kuching dilaporkan mendengar sehingga 60 kes dalam satu hari.

Setakat 2 Mei, 1,363 daripada 1,987 tangkapan di seluruh negeri itu telah didakwa di mahkamah. Ada hukuman yang diberikan rayuan kerana dianggap berlebihan dengan pelanggaran yang dilakukan.

Antara kes seperti itu yang dikendalikan Ng melibatkan dua lelaki yang ditangkap dan didakwa kerana melanggar PKP ketika mereka keluar membeli air mineral untuk didermakan kepada sebuah keluarga yang baru sahaja kematian ahli keluarga.

Lelaki terbabit merupakan buruh yang menerima gaji harian dan hilang pekerjaan sejak PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac.

Ketika mereka dihadapkan ke majistret pada 23 April, mereka didapati bersalah dan dikenakan denda maksimum RM1,000 serta penjara selama tujuh hari.

Hukuman penjara itu boleh dilanjutkaan kepada 17 hari sekiranya mereka gagal membayar denda dan 10 hari lagi kerana cuai.

Berrylin Ng (tengah) dipanggil ke Badan Peguam Sarawak pada November lalu sudah diberi tugas mengendalikan kes pelanggaran PKP. – Gambar ihsan Berrylin Ng, 4 Mei, 2020.

“Mereka bekerja sebagai buruh dan telah kehilangan kerja. Mereka melakukan kerja amal.

“Saya memohon untuk mengurangkan hukuman kerana kerja amal tidak sepatutnya dikenakan hukuman berat atau ia akan menghalangi orang untuk saling membantu ketika dalam tempoh ini,” kata Ng.

Tetapi beliau berkata, hakim berpendapat bahawa pemberian air mineral semasa PKP bukanlah perkhidmatan penting.

Ng masih menunggu araha daripada Yayasan Bantuan Guaman sama ada rayuan perlu difailkan.

Menurutnya, peguam kanan di yayasan itu berpendapat hukuman denda sudah memadai tanpa perlu dikenakan hukuman penjara tambahan.

“Sekiranya hukuman yang dijatuhkan itu hanya denda, saya rasa wajar dan mengikut semangat peraturan PKP kerana kemungkinan akan membuat orang untuk kekal berada di rumah.

“Namun, jika denda yang dikenakan adalah maksimum yang dibenarkan oleh undang-undang, maka itu sedikit berlebihan.

“Faktor seperti mengapa pesalah melanggar PKP perlu sentiasa dipertimbangkan apabila denda dikenakan,” katanya.

Ng juga mengatakan mungkin pihak berkuasa terlalu tegas dengan sebilangan kes yang dirujuk ke mahkamah, dan fakta bahawa pelanggaran PKP dianggap sebagai jenayah memudaratkan rekod individu tertuduh.

“Ia boleh menjejaskan lebih daripada wang mereka dalam jangka panjang.

“Perlu ada keseimbangan dalam menetapkan sasaran PKP iaitu untuk memastikan jumlah orang ramai di luar rumah minima.

“Jadi kes yang mana mereka ditangkap di luar rumah selepas pukul 7 malam tanpa alasan munasabah perlu dibawa ke mahkamah untuk dikenakan tindakan tegas.” – 4 Mei, 2020.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen