Pekerja asing terbiar tangani nasib sendiri di tengah Covid-19


Zaim Ibrahim

Pekerja warga asing berkata mereka bimbang dengan penularan Covid-19 kerana duduk ramai-ramai dalam satu rumah, tetapi mereka tiada pilihan lain. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mei, 2020.

PEKERJA Nepal, Raju Thapa mengharapkan wakil pihak pengurusan kilang tempat beliau bekerja di Pulau Pinang akan datang ke flat beliau dan rakan-rakan tinggal, dan menasihatkan mereka tentang langkah kesihatan bagi membendung wabak Covid-19.

Namun sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) berjalan pada 18 Mac, tiada siapa pun datang – kecuali sebuah trak sanitasi yang menyembur cecair pembersih di luar kediaman mereka, di Pangsapuri Nagasari di Juru.

Raju, 41, berkata pihak pengurusan pangsapuri juga tidak memberikan apa-apa nasihat namun mereka sedar tentang langkah berwaspada yang perlu diambil termasuk hanya keluar rumah kalau perlu.

Tetapi beliau bimbang kerana sesetengah mereka tinggal sampai 10 seorang dalam sebuah rumah yang kecil.

“Di rumah ini, tiada sesiapa yang datang bagi topeng muka atau sabun pembasmi kuman secara percuma. Kita beli duit sendiri dan gunakannya.

“Apabila keluar rumah, kita keluar seorang-seorang bukan ramai macam selalu,” katanya yang bekerja di sebuah kilang di kawasan perindustrian Perai.

Kilang tempat mereka bekerja tidak beroperasi sejak PKP bermula hampir 50 hari lalu.

“Sebenarnya takut juga, sebab kita hanya pantau diri sendiri. Saya selalu pesan kawan-kawan lain, kalau demam saja terus pergi klinik tapi setakat ini belum ada lagi yang demam atau sakit.

“Beberapa minggu lalu, ada pihak datang dengan lori untuk melakukan proses sanitasi tetapi selepas itu tiada apa-apa lagi,” tambahya.

Beliau yang menetap di apartmen itu sejak 10 tahun lepas berkata kebanyakan rakannya berharap ada pihak yang datang membantu membuat kawalan lebih ketat di kawasan itu.

“Pekerja asing di sini ramai, kita pun risau kalau ada yang dijangkiti tapi tidak sedar.

“Sebab itu saya harap, ada pihak datang buat saringan, atau ketatkan pergerakan supaya lebih terjaga,” jelasnya.

Beliau ditemui The Malaysian Insight di kedai runcit di apartmen dua blok itu.

Pangsapuri itu mempunyai 1,700 unit rumah, dengan lebih 90% penduduknya pekerja asing.

Pekerja warga asing membeli bekalan barangan makanan untuk keperluan mereka di rumah sewa atau asrama sepanjang PKP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mei, 2020.

Rakan Raju, Harka Bahadurai juga dari Nepal berkata, beliau selesa dengan keadaan yang longgar di kediamannya kerana kilang tempat beliau bekerja menjalankan prosedur ketat sepanjang PKP.

“Saya kerja seminggu tiga hari. Di kilang, sebelum masuk mereka saring suhu, bagi sarung tangan, dan pakai topeng muka.

“Walaupun di rumah ini longgar, tetapi kami semua jaga diri sendiri jadi tiada masalah,” katanya.

Harka tinggal bersama lima rakan dari kilang yang sama dan bayaran sewa ditanggung oleh pihak majikan.

“Kita kerap cuci rumah dan pastikan diri sentiasa bersih selepas keluar dari rumah.

“Paling penting sentiasa cuci tangan. Itu sajalah kita buat,” tambahnya.

Raju Sarki pula berkata beliau bimbang tinggal serumah dengan 11 penghuni namun mengaku tiada pilihan lain.

“Rumah kita ada tiga bilik, jadi semua hanya duduk di dalam bilik tidak keluar.

“Sebelum ini kita banyak luangkan masa bersama di ruang tamu, sekarang tak lagi.

“Memang risau juga sebab duduk rumah ramai-ramai tapi ini saja yang kita ada,” kata warganegara Bangladesh berusia 31 tahun itu.

Suasana berbeza di asrama pekerja asrama pekerja Westlite Accommodation, di kawasan perindustrian Bukit Minyak.

Tinjauan The Malaysian Insight mendapati, luar pintu asrama itu ditampalkan beberapa pelekat supaya pekerja beratur pada jarak satu meter.

Sebelum keluar untuk bekerja di kilang masing-masing, pengawal keselamatan akan menyaring suhu badan pekerja.

Setiap bilik asrama terdapat lebih 10 pekerja, tetapi hanya seorang ditugaskan membeli barangan keperluan di luar asrama.

“Saya beli barang tiga atau empat hari sekali. Untuk barang masak pun, kita beli jika bekalan tinggal sedikit,” kata Madan Shrastha, 23, yang dilantik sebagai pembeli barangan keperluan untuk rakan-rakan biliknya.

“Bukan saja di luar asrama, dalam asrama pun kita jaga jarak. Kita hanya duduk dalam bilik dan tidak berkumpul ramai-ramai,” kata warganegara Nepal itu.

Jelas Madan, beliau tidak begitu bimbang dengan wabak Covid-19 kerana langkah ketat di kilang dan asrama meyakinkan beliau, wabak itu mampu dibendung.

“Kita rasa selamat sama ada di kilang atau asrama. Masing-masing pekerja asing di sini patuh arahan kerajaan,” tambahnya.

Keadaan pekerja asing yang tinggal di asrama atau rumah sewa menjadi perhatian selepas kes Covid-19 meningkat dengan begitu mendadak di Singapura, semalam mencecah lebih 18,000 kes dengan majoriti melibatkan pekerja warga asing.

Singapura melaksanakan perintah kawalan pergerakan sehingga 1 Jun ini dan mewartakan beberapa asrama pekerja asing sebagai tempat kuarantin. – 4 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen