Filipina sekat penerbangan masuk selama seminggu


Filipina menghentikan semua penerbangan masuk ke negara itu bermula hari ini bagi mengosongkan pusat kuarantin yang dipenuhi rakyatnya yang pulang bekerja dari luar negara. – Gambar AFP, 3 Mei, 2020.

FILIPINA menghentikan semua penerbangan masuk ke negara itu bermula hari ini bagi mengosongkan pusat kuarantin yang dipenuhi rakyatnya yang pulang bekerja dari luar negara.

Berjuta-juta rakyat Filipina berada di luar negara terutamanya di Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Singapura dan Qatar.

Kira-kira 24,000 rakyat Filipina sudah pulang ke tanah air selepas kebanyakan mereka kehilangan kerja akibat masalah ekonomi yang berpunca daripada pandemik Covid-19.

Mereka yang pulang perlu dikuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin yang disediakan kerajaan.

“Larangan penerbangan itu akan dilaksanakan selama seminggu bagi membolehkan kerajaan mengosongkan pusat kuarantin di Manila,” kata pegawai kerajaan Carlito Galvez dalam satu kenyataan.

Pengumuman itu secara tidak langsung menangguhkan program penghantaran pulang untuk pekerja yang terjejas akibat pandemik itu dan kerajaan meminta mereka untuk kekal berada di negara lokasi mereka bekerja buat masa ini.

Bagaimanapun penerbangan keluar masih dibenarkan termasuk pelancong yang mahu pulang ke negara masing-masing.

Filipina menjadikan pusat kovensyen, kapal, hotel dan kemudahan kerajaan sebagai pusat kuarantin selepas kes jangkitan Covid-19 terus meningkat.

Setakat Ahad, Filipina melaporkan lebih 9,200 kes dengan 607 kematian. – AFP, 3 Mei, 2020.    


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen