SIASATAN masih dijalankan untuk menentukan kaitan dan punca jangkitan daripada kluster baharu yang dikesan di sebuah tapak pembinaan di Jalan Ampang, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Ketua pengarah kesihatan berkata siasatan dijalankan ke atas kontak rapat dan kumpulan yang tinggal bersama dengan kes tersebut.
“Setakat ini kita tidak ada bukti kukuh untuk kaitan Kampong Bharu atau Pasar Borong Kuala Lumpur,” katanya.
Katanya terdapat juga kemungkinan kluster itu terbabit dengan kluster besar perhimpunan jemaah tabligh Seri Petaling, yang kini melibatkan lima generasi jangkitan.
Siasatan setakat ini menemui 28 kes positif di tapak pembinaan itu, yang kesemuanya melibatkan warga asing, kata Dr Noor Hisham.
Kluster jangkitan dari kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur, menyumbang peningkatan kes paling besar dari kesemua kawasan bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Seramai 36 kes baharu dikesan hari ini dari sekitar kawasan tersebut, menjadikan jumlah 122, termasuk satu kematian warga Myanmar.
Satu lagi kawasan berdekatan, Selayang Baru yang juga bawah PKPD mencatat 20 kes baharu.
Empat kes baharu juga dikesan dari kawasan PKPD Selangor Mansion di Kuala Lumpur.
Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa semalam mengesahkan penemuan kes di kawasan Jalan Ampang itu selepas pekerja di tapak pembinaan tersebut mendapat rawatan di klinik berdekatan.
Kakitangan klinik kemudian memaklumkan kepada kementerian kesihatan selepas ujian mendapati pesakit itu positif Covid-19, katanya.
Saringan besar-besaran kemudiannya menemui lebih banyak kes positif.
Annuar juga hari ini berkata mendapati banyak kawasan tempat tinggal pekerja pembinaan di Kuala Lumpur tersebut amat kotor,
Katanya kegagalan mematuhi garis panduan menyediakan kediaman pekerja mungkin menyebabkan jangkitan tapak pembinaan tersebut.– 3 Mei, 2020.
Komen