Saringan Covid-19 tumpu rumah jagaan warga emas, kata KP Kesihatan


Seorang petugas kesihatan melakukan proses saringan Covid-19 ke atas seorang penduduk di Taman Medan, Selangor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mei, 2020.

SARINGAN berfasa ditumpukan ke atas warga emas di lebih 350 pusat jagaan berdaftar dan lebih 1,000 pusat jagaan tidak berdaftar untuk mengekang Covid-19, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya saringan itu akan dimulakan dengan 17 pusat jagaan yang berdaftar bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Seterusnya saringan akan dibuat ke semua 357 pusat jagaan kerajaan dan 26 pusat jagaan swasta.

Pejabat kesihatan daerah juga akan mengesan lebih 1,000 pusat jagaan warga emas tidak berdaftar di seluruh negara, katanya.

“Kita berharap pusat jagaan swasta ini akan menghubungi pejabat kesihatan daerah terdekat untuk saringan,” katanya yang menambah saringan juga melibatkan kakitangan pusat tersebut.

Katanya tumpuan itu dibuat memandangkan warga emas paling berisiko maut dan mengalami komplikasi yang dahsyat berdasarkan analisis ke atas 99 daripada 105 kematian setakat ini.

“Rata-ratanya faktor usia lebih 60 tahun dan menghidap jangkitan NCD (penyakit tidak berjangkit). Oleh itu kita rasa perlu pastikan untuk lindungi warga emas.

“Kalau ada jangkitan, ia lebih dahsyat berbanding dialami pesakit lebih muda,” katanya dalam sidang media.

Jangkitan NCD itu termasuk darah tinggi, kencing manis dan penyakit jantung, yang menurutnya menyebabkan komplikasi yang dahsyat.

Katanya, pesakit yang merokok dan obes menunjukkan komplikasi lebih dahsyat.

Dalam taklimatnya, Dr Noor Hisham berkata 70 daripada 105 yang maut akibat Covid-19 berusia lebih 60 tahun.

Seramai 32.2% daripada kes maut berusia 61 hingga 70 tahun dan 19.2% berusia antara 71 hingga 80 tahun.

Terdahulu beliau mengumumkan dua lagi kematian dikesan semalam melibatkan mangsa berusia 82 dan 64 tahun.

Kedua-dua pesakit lelaki itu mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi, kencing manis, penyakit buah pinggang dan jantung, katanya.

Beliau juga mengumumkan 17 kes lagi dikesan menjadikan 122 kes setakat pukul 12 tengah hari. Sebanyak 52 daripadanya kes import manakala 70 lagi merupakan kes penularan tempatan.

“Sehingga kini, 27 kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi dan daripada jumlah itu, 13 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sebanyak 1,780 kes masih aktif dan boleh berjangkit. – 3 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen