Kempen vaksinasi terjejas akibat Covid-19, kata Unicef


Unicef dan WHO memberi amaran bahawa 117 juta kanak-kanak di dunia berisiko terkena campak kerana kebanyakan negara sibuk memerangi pandemik itu. – Gambar AFP, 3 Mei, 2020.

PANDEMIK koronavirus boleh menjejaskan kempen memberi vaksin di Afrika Utara dan Asia Barat, dengan risiko berjuta kanak-kanak tidak mendapat suntikan polio dan campak.

Agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Unicef berkata kebanyakan negara di rantau tersebut masih meneruskan kempen itu dengan kawalan ketat bagi mengelakkan penularan Covid-19.

Namun Unicef memberi amaran bahawa beberapa kempen vaksinasi terpaksa ditangguh kerana pekerja kesihatan terpaksa dikerah membendung Covid-19.

“Akibatnya, seorang daripada setiap lima kanak-kanak atau 10 juta kanak-kanak bawah lima tahun berisiko terlepas suntikan polio,” kata Unicef dalam satu kenyataan.

“Hampir 4.5 juta kanak-kanak berusia bawah 15 tahun berisiko terlepas suntikan campak.”

Pengarah serantau Unicef Ted Chaiban berkata amat penting buat kanak-kanak mendapat imunisasi bagi mengelak dijangkit penyakit polio, campak dan hepatitis.

Katanya langkah seperti pembasmian, pemakaian pakaian perlindungan diri dan penjarakan sosial boleh memberi ruang kempen vaksinasi dijalankan walaupun dunia sibuk menentang Covid-19.

Unicef dan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) pada bulan lepas memberi amaran bahawa 117 juta kanak-kanak di dunia berisiko terkena campak kerana kebanyakan negara sibuk memerangi pandemik itu. – AFP, 3 Mei, 2020.    


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen