Hakikat membuka semula ekonomi selepas PKP 


Jahabar Sadiq

Askar bertugas di Selangor Mansion di Jalan Masjid India yang dikenakan PKPD selepas beberapa kes Covid-19 dikesan. – Gambar fail The Malaysia Insight, 10 April, 2020.

BEBERAPA negeri mengabaikan langkah Putrajaya membuka semula ekonomi dengan melonggarkan beberapa sekatan di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula esok, lapan hari lebih awal daripada tempoh asal perintah itu sepatutnya berakhir.

Seperti kata Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob, negeri-negeri berhak berbuat demikian namun tidak boleh terkeluar daripada batas yang ditetapkan dalam PKP Tahap 4 yang berakhir pada 12 Mei ini.

Apakah yang lebih baik daripada menolak sepenuhnya PKP Bersyarat (PKPB)?

Itulah yang perlu dipertimbangkan oleh Putrajaya apabila pejabat, kilang, restoran dan perniagaan lain mula dibuka untuk mendapatkan semula kerugian yang kini keseluruhannya mencecah lebih RM2 bilion sehari.

Keluarkan prosedur operasi standard (SOP) untuk setiap satu sektor ekonomi yang akan dibuka semula, baik pejabat, restoran mahupun kilang.

Jika tidak, ia tidak ubah hanya satu keputusan politik untuk menunjukkan betapa tidak cekapnya kerajaan Perikatan Nasional (PN) mentadbir negara sekarang.

Ya, PN tidak menunjukkan prestasi yang baik dalam tempoh dua bulan ia mentadbir, yang sebahagian besar dihabis menguruskan pandemik Covid-19, namun kerajaan negeri perlu menunjukkan bahawa mereka boleh melakukannya dengan lebih baik.

Misalnya, adakah semua pejabat, pusat membeli belah dan kilang sudah mengemas kini sistem pendingin hawa untuk menghalang virus merebak dalam tempat yang tertutup? Bagaimana dengan saringan suhu untuk semua orang yang masuk ke tempat itu?

Apakah SOP untuk sektor ekonomi tertentu? Berapa orang yang boleh duduk dalam sebuah restoran dengan keluasan 100 meter persegi? Bagaimana kalau keluasannya 200 meter perseg? Apakah protokol untuk bangunan pejabat? Siapa yang menguruskannya dan siapa yang bertanggungjawab kalau berlaku sesuatu yang tidak diingini?

Hakikatnya pemilik perniagaan risau hendak memulakan kembali perniagaan dalam keadaan virus itu masih berbahaya. Adakah mereka punya wang yang cukup untuk menampung pembiayaan rawatan kakitangan sekiranya ada penularan Covid-19?

Adakah mereka memikirkan wajar atau tidak untuk beroperasi semula dan balik modal ketika banyak orang masih bimbang dan cenderung untuk terus duduk di rumah atau meneruskan bekerja dari rumah?

Hakikatnya tiada sesiapa yang boleh mematuhi peraturan sedia ada dan apalagi SOP tambahan dan membuka semula perniagaan esok. 

Jabatan kerajaan pun tidak boleh melainkan sistem pendingin hawanya telah dicuci, ruang kerja dan tempat awam dibersihkan, ada jangka suhu digital dan sebagainya.

Ada satu lagi hakikat. Semua pihak berkuasa, baik di persekutuan mahupun di negeri, perlu menentukan semua ini dan menggariskan satu pelan untuk membolehkan ekonomi dibuka semula.

Daripada menunggu sampai 12 Mei, adalah lebih baik semua pihak yang berkuasa mula menggariskan perinciannya. Jika tidak, tiada siapa pun yang sedia untuk kembali berniaga atau bekerja pada 13 Mei.

Sekiranya itu berlaku, lebih banyak perniagaan akan gagal dan lebih banyak orang akan kehilangan pekerjaan. 

Siapa yang akan mereka salahkan?

Covid-19, PN atau kerajaan negeri? – 3 Mei, 2020.

*Jahabar Sadiq mengendalikan The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen