ANAK perempuan dan menantu Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi akan didakwa pada Selasa kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Huzir Mohamed.
Huzir berkata kedua-dua mereka akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta.
“Mereka akan didakwa pada Selasa. Kami sudah menerima arahan daripada Pejabat Peguam Negara,” kata Huzir.
Nurul Hidayah Ahmad Zahid dan suaminya, Saiful Nizam Mohd Yusoff akan didakwa mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.3) 2020.
Kedua-dua mereka boleh didenda RM1,000 atau penjara enam bulan jika didapati bersalah.
Pasangan suami isteri itu didakwa melanggar PKP apabila mereka mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Ahmad Masrizal Muhammad di bangunan kementerian selepas bertemu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri beberapa jam sebelum itu.
Nurul Hidayah, 41, memuat naik beberapa gambar di Instagram ketika dia dan suaminya bertemu Dr Zulkifli serta Ahmad Masrizal di pejabat masing-masing.
Perkara itu mendapat kecaman netizen yang mendakwa beliau dan suaminya melanggar PKP dan seolah-olah menyalahgunakan kedudukan beliau sebagai anak tokoh politik untuk membolehkannya berbuat demikian.
Satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) JSJ Bukit Aman dan kedua-duanya telah diambil keterangan pada 24 April lalu. – 3 Mei, 2020.
Komen