Selangor ubah suai PKPB mulai esok, kata menteri besar


Restoran, para penjaja dan peniaga berpremis dibenarkan untuk beroperasi mulai 4 Mei 2020 terhad kepada urusan bawa pulang dan penghantaran dari jam 7 pagi hingga 10 malam, kata MB Selangor. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 3 Mei, 2020.

SELANGOR mengubah suai kelonggaran terhadap perintah kawalan pergerakan (PKP), seperti yang diumum oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang dibenarkan mulai esok, ketika beberapa negeri lain memutuskan sama ada sama sekali tidak mengikutinya atau menangguhkan pelaksanaannya.

Keputusan Selangor menjadikan sekurang-kurangnya tujuh negeri tidak mengikuti kelonggaran bersyarat (PKPB) yang diberi oleh Putrajaya, dengan dua negeri menangguhkannya sehingga Jumaat.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata antara pengubahsuaian itu ialah mengekalkan cara operasi kedai makan seperti peraturan PKP sedia ada, namun waktu perniagaan dilanjutkan antara 7 pagi dan 10 malam.

Selangor juga tidak membenarkan taman awam dibuka namun memberi kelonggaran kepada taman komuniti untuk dibuka antara 7 pagi hingga 7 malam, katanya.

“Restoran, para penjaja dan peniaga berpremis dibenarkan untuk beroperasi mulai 4 Mei 2020 terhad kepada urusan bawa pulang dan penghantaran dari jam 7 pagi hingga 10 malam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Penjaja tidak berpremis seperti penjaja tepi dan kenderaan saji juga hanya dibenarkan beroperasi selepas 12 Mei, selepas semua pihak berkuasa tempatan dan peniaga membuat persediaan, katanya.

Dalam pengumuman PKPB pada 1 Mei lalu, Muhyiddin berkata kedai makan mulai esok sudah boleh menerima pelanggan untuk duduk dan makan di kedai antara 7 pagi hingga 10 malam.

Amirudin mengeluarkan kenyataan itu selepas bermesyuarat dengan pihak berkuasa tempatan negeri awal hari ini, dalam siri mesyuarat melibatkan Majlis Keselamatan Negara Selangor dan Pasukan Petugas Covid-19 Selangor.

Jelas Amirudin, keputusan mengubah suai kelonggaran yang dibenarkan oleh Putrajaya itu adalah pendekatan bertahap yang diambil oleh Selangor untuk membuka semula ekonomi.

“Langkah bertahap yang dilaksanakan amat perlu sebagai sebahagian dari pendekatan “soft landing” supaya kesan wabak Covid-19 ini dapat ditampan dengan lebih baik,” katanya.

Menurut Amirudin, PKPB dengan penyesuaian dilaksanakan di seluruh Selangor kecuali zon merah di Selayang Baru.

Selangor adalah negeri yang mempunyai kes jangkitan Covid-19 paling tinggi di Malaysia dengan 1,518 kes. Daripada jumlah itu, 213 kes masih aktif sementara 1,251 kes sembuh.

Setakat semalam, hanya sebuah mukim masih dalam zon merah iaitu Batu dalam daerah Gombak, daripada keseluruhan 56 mukim di Selangor. – 3 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen