Menteri jawab Amnesty International, Malaysia berhak tahan Pati


Pihak berkuasa mengadakan pemeriksaan di bangunan kediaman Selangor Mansion di Masjid India yang dikenakan PKPD. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussein, 3 Mei, 2020.

MALAYSIA berhak menahan pendatang asing tanpa izin (Pati) untuk dibawa ke depoh tahanan sewaktu wabak Covid-19, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, Malaysia berhak menjalankan operasi tersebut kerana pendatang tersebut melanggar undang-undang dan tidak boleh dibiarkan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kritikan badan hak asasi termasuk dari Amnesty International yang mengecam tindakan penahanan tersebut sebagai tindakan tidak berperimkemanusiaan.

“Amnesty International perlu hormati undang-undang negara kita sebagai negara berdaulat, kita ada kuasa perundangan untuk (ambil tindakan kepada pendatang tanpa izin),” katanya.

Tambahnya, pendatang tersebut tersebut juga sudah disaring sehingga tiga kali sebelum operasi dibuat di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“PKPD ini akan ditamatkan. Apabila tamat, ke mana mereka nak dibiarkan pergi? Dibenarkan balik ke rumah sewa atau terus tinggal di situ? Yang kita lakukan berdasarkan undang-undang.”

Tambahnya, kerajaan juga akan memastikan penjarakan sosial diamalkan apabila tahanan tersebut dibawa ke depoh imigresen, seperti mana di penjara khas untuk pesalah PKP.

“(Penjarakan) di depoh ini akan dilaksanakan,” katanya.

Amnesty International semalam merupakan antara badan yang mengecam tindakan Putrajaya menahan hampir 600 pendatang tanpa dokumen sewaktu PKPD.

Badan itu menganggap penahanan tersebut melanggar hak asasi dan menganiaya komuniti yang sudahpun terpinggir.

Amnesty International juga percaya langkah itu akan menjejaskan tindakan negara dalam membendung penularan jangkitan Covid-19.

Antara yang dibangkitkan, tindakan tersebut didakwa akan menakutkan pendatang atau pelarian yang bergejala Covid-19 untuk tampil mendapatkan pemeriksaan dan rawatan.

Pengarah esksekutifnya Preethi Bhardwaj menggesa kerajaan menghentikan serangan ke atas migran tersebut dan melayan golongan tersebut dengan hormat dan bermaruah.

Bhardwaj juga menggesa pendatang berkenaan dibebaskan dan memfokuskan kepada usaha memerangi wabak Covid-19.

Pendirian serupa dinyatakan NGO Migrant Workers Right to Redress Coalition dan  Lawyers for Liberty dan Human Rights Watch.

Operasi menahan 586 migran itu dijalankan pada Jumaat lalu di kawasan bawah PKPD di sekitar kawasan Masjid India dan dilaporkan berterusan pada hari ini. – 3 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen