Petaling dan Gombak kembali zon merah


Seorang penduduk mengangkat beberapa kampit beras untuk dibawa pulang ke rumahnya di kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan di Gombak, Selangor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mei, 2020.

KES aktif baharu Covid-19 kembali meletakkan Petaling dan Gombak di Lembah Klang ke zon merah, menurut infografik Kementerian Kesihatan.

Gombak yang sebelum ini melaporkan jumlah kumulatif sebanyak 178 kes menyaksikan lonjakan 37 kes menjadikan jumlah baharu sebanyak 215 kes.

Jumlah kes yang aktif juga meningkat dari 40 kes pada 12 tengah hari 1 Mei hingga 77 kes pada tengah hari semalam.

Di Petaling pula sebanyak lima lagi kes baharu direkodkan.  

Jumlah kes aktif juga meningkat dari 38 ke 43 kes.

Daerah ini merekodkan sejumlah 384 jangkitan setakat jam 12 tengah hari semalam.

Kes baharu di kedua-dua daerah ini menjadikan 10 daerah dengan kes aktif di zon merah, meningkat dari lapan sebelumnya.

Sementara itu terdapat 58 daerah kurang dari 20 kes aktif sementara 89 bebas jangkitan Covid-19. 

Pengkategorian zon merah adalah untuk kawasan dengan lebih 41 kes, zon oren (20 hingga 40 kes), zon kuning (satu hingga 19 kes) dan zon hijau (tiada kes). 

Jumlah kes baharu kembali meningkat ke tiga digit semalam dengan 105 jangkitan baharu menunjukkan jumlah tertinggi dalam masa 16 hari.  

Ini menjadikan jumlah jangkitan nasional meningkat kepada 6,176 orang sementara jumlah kematian seramai 103 orang. – 3 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen