BANTUAN kepada penduduk memerlukan sememangnya tidak disalurkan melalui ahli Parlimen pembangkang kerana wakil rakyat kawasan itu tidak menyokong kerajaan, kata penyelaras terlibat.
Ketua Penyelaras Bakul Makanan di Permatang Pauh, Haidhar Dzolkapli berkata bantuan untuk kawasan pembangkang itu dikawal oleh wakil parti yang menyokong kerajaan.
Ia melibatkan wakil Umno, PAS, Bersatu dan NGO Penggerak Komuniti Negara (PKN) bawah naungan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, katanya.
Beliau memberitahu The Malaysian Insight ahli PKN juga terdiri daripada penyokong Menteri Kanan (Ekonomi) Mohamed Azmin Ali.
“Setiap kawasan Parlimen pembangkang, kerajaan melantik empat penyelaras mewakili parti yang menyokong kerajaan. Kami dilantik 9 April lalu, selepas mesyuarat kabinet berkenaan agihan bakul makanan,” katanya.
Jelasnya, mereka akan mengagihkan bantuan tersebut kepada penerima dalam senarai yang diperolehi daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).
“Walaupun ada isu bakul makanan tidak sampai ke tangan ahli Parlimen, tetapi bakul makanan itu kami serahkan kepada penama yang memerlukan, yang kami dapat hasil kerjasama dengan MPKK.”
Tambahnya, walaupun penyelaras dilantik berdasarkan wakil parti yang menyokong kerajaan, ia bukanlah isu politik.
Katanya, mereka dilantik untuk mengagih bantuan itu untuk membolehkannya diselaras dengan baik kerana pembangkang tidak menyokong kerajaan.
“Polisi kerajaan harus dilaksanakan oleh seseorang yang dilantik dan mendukung kerajaan. Ahli Parlimen pembangkang, mereka jalankan tugas-tugas sebagai pembangkang.
“Mereka tidak sokong kerajaan, melawan kerajaan, jadi kerajaan perlu melantik seseorang yang lain supaya pengagihan diselaraskan dengan lebih baik,” jelasnya.
Haidhar berkata dakwaan bahawa lantikan penyelaras ini bermotifkan politik hanyalah satu persepsi.
Katanya, ia dicipta parti politik pembangkang yang tidak dapat menerima hakikat selepas kerajaan bertukar tangan Februari lalu.
“Semua penyelaras di kawasan pembangkang tiada niat untuk berpolitik, individu yang mendapat bantuan daripada MPKK.
“Jadi tiada isu pilih bulu atau pihak kami mahu mendapatkan sokongan politik,” jelasnya.
Langkah itu dipersoal ahli parlimen pembangkang yang tidak berpuas hati kerana menyebabkan bantuan tidak diagihkan kepada penerima dalam senarai mereka.
Kerajaan memperuntukkan 1,000 bakul makanan bernilai RM100 setiap satu untuk setiap kawasan Parlimen bagi keluarga dari golongan B40.
Antaranya Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh Parlimen yang berkata terdapat sekurang-kurangnya 54 kawasan parlimen pembangkang yang masih belum menerima sebarang bantuan tersebut.
Beberapa ahli Parlimen pembangkang di utara semenanjung juga memberitahu The Malaysian Insight bekalan 1,000 bakul makanan belum sampai ke pejabat mereka.
Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar antara yang menyuarakan kebimbangan jika bakul makanan tidak sampai kepada pihak yang sepatutnya.
“Kami memberikan nama penerima yang layak, tetapi setelah beberapa hari, saya tidak tahu apa status penghantaran bakul makanan, malah ia tidak dihantar melalui pejabat kami.
“Kami ingin memastikan penerima adalah mereka yang sangat memerlukan, kerana itu, sebarang campur tangan politik mengganggu penyampaian yang lancar dan telus,” katanya.
Ahli Parlimen Pokok Sena dari Amanah, Mahfuz Omar berkata walaupun Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) meminta 1,000 nama untuk diberi bantuan, tetapi tiada tindakan.
“Pada awal April saya sudah kemukan nama tapi akhirnya tidak dapat. Saya difahamkan, daripada pihak kerajaan mereka tidak beri kepada ahli Parlimen tetapi bakul itu diberi kepada wakil PAS, Umno, Bersatu dan wakil yang menyokong Azmin.
“Saya tidak salahkan JKM, mereka sekadar menurut arahan. Cuma hairan mengapa proses agihan bertukar tangan.
“Kini, untuk beri bantuan kepada penduduk Pokok Sena saya gunakan duit sendiri dan sumbangan daripada beberapa pihak lain,” kata Mahfuz.
Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong turut meminta pengagihan 1,000 bakul makanan tidak dijadikan bahan politik.
“Biarlah bantuan diagihkan tanpa birokrasi dan proses yang menyusahkan. Bantuan perlu diberi pantas, tepat pada kepada kumpulan sasar, dan tidak boleh berpolitik,” katanya. – 3 Mei, 2020.
Komen