Sabah, Negeri Sembilan tidak ikut PKPB esok


Petugas kesihatan melakukan ujian saringan Covid-19 terhadap peniaga pasar di Kota Kinabalu, Sabah pada 29 April lalu. Sabah pada masa ini merekodkan lebih 300 kes positif. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mei, 2020.

DUA lagi negeri, Sabah dan Negeri Sembilan, tidak akan melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Jumaat lalu, menjadikan setakat ini empat negeri tidak mengikut kelonggaran yang sepatutnya bermula esok.

Sebelum Sabah dan Negeri Sembilan, Kedah dan Sarawak juga membuat pengumuman tidak membenarkan sebahagian perniagaan dan sektor beroperasi semula esok.

Dalam satu kenyataan ringkas, Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal berkata kerajaan negeri memutuskan mengekalkan perintah kawalan pergerakan sedia ada sehingga 12 Mei ini.

“Pendirian ini diambil bagi meneruskan usaha untuk membendung penularan pandemik Covid-19 dan memastikan rakyat tidak terdedah dengan jangkitan virus.

“Saya menyeru rakyat untuk terus mematuhi PKP Tahap 4 yang sedang berkuat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun pula dipetik Bernama berkata pentadbirannya memutuskan tidak membenarkan orang ramai makan di restoran, kedai makan dan premis makan berlesen, sebaliknya mengekalkan PKP sehingga 12 Mei ini.

“Kerajaan Negeri Sembilan pada dasarnya bersetuju dengan saranan untuk melonggarkan PKP fasa keempat seperti diumumkan (oleh Muhyiddin) mengenai tatacara kawalan serta pengoperasian sektor yang terlibat dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Namun begitu, memandangkan kes baharu Covid-19 di Negeri Sembilan masih terus berlaku dan bagi memastikan kes baharu dapat dikawal, kerajaan Negeri Sembilan mengambil keputusan iaitu hanya sektor ekonomi yang dibenarkan sahaja yang boleh beroperasi dalam PKPB manakala sektor sosial dan aktiviti sukan tidak dibenarkan dalam tempoh PKPB,” katanya, seperti dipetik Bernama.

Semalam, Timbalan Ketua Menteri Sarawak Douglas Uggah berkata Sarawak belum bersedia melonggarkan PKP, seperti pengumuman Muhyiddin pada 1 Mei, sebaliknya akan mengkaji dengan teliti sebelum membenarkan semula sebahagian aktiviti ekonomi dan sosial.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak berkata kerajaan negeri akan mengekalkan PKP sedia ada sehingga selesai mengkaji kesan pembukaan semula ekonomi.

Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir dalam satu kenyataan berasingan juga berkata pentadbirannya akan meneliti kelonggaran yang dibenarkan oleh Putrajaya mengikut kesesuaian keadaan di negeri.

“Pendirian ini diambil bagi menjamin Kedah kekal sebagai zon hijau dan rakyat tidak terancam dengan jangkitan virus Covid-19.

“Keselamatan dan kebajikan rakyat tidak akan dikompromi. Buat sementara waktu, terus kekal di rumah dan amalkan penjarakan sosial,” katanya.

Sementara itu, Selangor dan Pulau Pinang juga masing-masing mengadakan mesyuarat pagi ini meneliti beberapa perincian susulan pengumuman Muhyiddin melonggarkan PKP.

“Di peringkat kerajaan negeri, kita tidak mahu ‘crash landing’ dengan erti kata lain, kita akan cuba melihat peringkat demi peringkat dan saya akan bertanya dan melihat kesiapsiagaan PBT.

“Ini kerana mereka (PBT) yang perlu melihat bagaimana operasi kedai makan,” kata Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, semalam.

Pada 1 Mei, Muhyiddin mengumumkan hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan akan dibenarkan beroperasi semula esok, tertakluk kepada syarat dan tatacara yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Antaranya, semua tempat makan yang boleh menerima pelanggan untuk duduk dan makan di kedai antara 7 pagi hingga 10 malam.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan pertambahan 105 lagi kes baharu Covid-19, iaitu peningkatan tiga angka yang pertama dalam masa 16 hari.

Setakat semalam ada 1,747 kes Covid-19 masih dirawat daripada keseluruhan 6,176 kes, dengan 4,326 kes atau 70 peratus sudah sembuh.

Kes kematian akibat Covid-19 di Malaysia setakat semalam kekal 103 orang. – 3 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen