PASAR Besar Seremban ditutup untuk pembersihan dan sanitasi selepas dua peniaganya disahkan positif Covid-19, lapor The Star Online.
Exco Negeri Sembilan Teo Kok Seong dijadualkan melawat pasar itu hari ini dan dijangka mengadakan sidang media, kata laporan itu.
Pada Khamis lalu, pihak berkuasa kesihatan di Negeri Sembilan mengarahkan peniaga di pasar itu dan di Pasar Ampangan menjalani saringan Covid-19, selepas mereka diketahui mengambil bekalan sayur-sayuran dari Pasar Borong Selayang.
Teo ketika itu berkata operasi dua pasar itu berjalan seperti biasa, sementara menunggu keputusan Jabatan Kesihatan Negeri Negeri Sembilan (JKNNS).
Minggu lalu, Pasar Awam Bahau ditutup selama 14 hari sehingga 10 Mei ini bagi kerja pembersihan selepas seorang peniaganya disahkan positif Covid-19.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah yang mengulas kes itu berkata peniaga tersebut dijangkiti daripada kluster Pasar Borong Selayang.
“Ini bukan kluster baharu sebab kita dapati peniaga tersebut adalah daripada kluster Pasar Borong Kuala Lumpur dan kembali ke Pasar Awam Bahau dan jalankan perniagaan di situ,” katanyanya pada sidang media pada 26 April lalu.
Setakat semalam, terdapat 36 lagi kes baharu dari kluster Pasar Borong Selayang, menjadikan keseluruhan kes kluster itu sebanyak 122 kes. – 3 Mei, 2020.
Komen