Igauan pemain bola sepak amatur di tengah wabak Covid-19


Zaim Ibrahim

Kebanyakan pemain Liga M3 kini memfokuskan kepada bagaimana hendak terus menyara hidup selepas pandemik Covid-19 menyebabkan liga tertangguh.– Gambar Facebook, 3 Mei, 2020.

PEMAIN sayap kanan Muhammad Azmi cukup yakin kelab bola sepaknya Langkawi City, yang sekarang bermain dalam divisyen 3 Liga Malaysia (Liga M3) boleh naik ke Liga Perdana pada musim depan.

Selepas menang dan seri dalam dua perlawanan pertama, Langkawi City kini di tempat ketiga liga dengan mengumpulkan empat mata.

Namun pemain sepenuh masa ini sudah tidak lagi begitu menumpukan perhatiannya kepada bola sepak. Dalam fikirannya sekarang hanya satu – bagaimana hendak terus menyara hidup selepas pandemik Covid-19 menyebabkan liga tertangguh.

“Kami sebagai pemain mesti terpaksa mencari pekerjaan yang lain buat sementara untuk menyara kehidupan, jika gaji sebagai pemain tidak dapat dibayar.

“Kami terpaksa lupakan bola sepak sementara untuk fokus kepada kerja, dan perkara ini akan menyebabkan kecergasan dan skil atas padang hilang.

“Untuk kembali ke tahap normal, perlu masa yang agak lama dan silap-silap, terpaksa gantung but dan cari kerja lain,” kata beliau kepada The Malaysian Insight.

Muhamad, 27, berkata keadaan makin tidak menentu selepas para pemain difahamkan Liga M akan bermula selewat-lewatnya November ini – jika liga dibenarkan semula sekalipun selepas PKP.

“Kami para pemain bimbang kalau liga dibatalkan terus tahun ini. Soal kontrak, gaji akan terganggu.

“Kalau kontrak saya tahun ini dibatalkan, bermakna kami tidak akan ada gaji terus. Sekarang, gaji semua pemain dipotong 30% selepas dipersetuji antara pemain dan pegawai Langkawi City,” tambahnya.

Prestasi Langkawi City tahun ini dianggap baik. Dalam saingan Piala FA, kelab itu sudah lepas hingga ke pusingan kedua dan dijadualkan bertemu Melaka United untuk pusingan ketiga pada 17 Mac.

Namun, perlawanan itu ditangguh sebelum Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula sehari selepas itu.

“Kami sebenarnya tidak sabar untuk beri saingan dan mengejutkan Melaka United yang beraksi di Liga Super (Liga divisyen 1)... tetapi tidak kesampaian,” tambahnya.

Muhamad yang lebih dikenali dengan nama Mat Mi berkata, akibat penangguhan liga dan pemotongan gaji, rancangannya untuk berkahwin awal tahun depan juga terjejas.

“Saya akan guna cara lain untuk kumpul duit kahwin. Untuk ibu bapa dan adik beradik saya, duit bulanan masih dapat diberikan walaupun dengan pemotongan gaji ini,” ulasnya lagi.

Liga M3 kini memasuki musim kedua sejak diperkenalkan pada tahun 2019. Liga itu sebelum ini dikenali sebagai Liga FAM.

Liga M3 mempunyai 20 buah pasukan, yang dibahagikan setiap 10 pasukan kepada dua buah kumpulan.

Perlawanan pertama liga bermula pada 7 Mac lalu dan mengikut jadual, ia akan berakhir pada 17 November.

Menteri kanan keselamatan Ismail Sabri Yaakob minggu ini berkata (Rabu 29 April), Liga- M mungkin dibenarkan pada Oktober atau November nanti.

Jelasnya, acara sukan yang melibatkan keramaian seperti pertandingan bola sepak Liga M perlu satu tempoh bertenang antara sebulan hingga empat bulan untuk disambung selepas PKP berakhir.

“Saya difahamkan Liga-M akan bersambung semula pada bulan Jun, kalau Jun ia terlalu awal. Kalau PKP ditamatkan, dalam masa satu atau dua bulan selepas itu mungkin masih terlalu awal untuk kita benarkan.

“Tetapi kalau PKP tamat pada Jun, pertandingan bersambung bulan Oktober atau November dengan SOP seperti bermain tanpa penonton dan sebagainya, mungkin kita boleh lihat dan pertimbangkan perkara tersebut,” katanya.

Bagi pemain Ikram Muda FC yang berkelana di Lembah Klang, Muhammad Fakhrulrazi Mohamed Nordin, 26,  penangguhan liga hampir setahun akan merugikan masa para pemain dan perancangan kelab.

Beliau yang bermain secara sambilan dan mempunyai kerja sebagai pengaturcara komputer mengaku jadi pemain bola sepak sebagai kerjaya ada risiko yang sukar diduga.

“Apabila liga ditangguh hampir setahun, saya rasa masa depan sebagai pemain bola tidak menentu.

“Kami masih baru dalam Liga M, tetapi bersemangat dan bersedia mahu buktikan sesuatu dalam liga,” katanya yang memakai jersi Nombor 10 dalam pasukannya.

“Jadi tahun ini rugilah, kita tidak dapat beraksi. Walaupun sekadar main di Liga M3, ini satu pencapaian buat pasukan.

“Dalam setahun ini, kita mungkin boleh bermain dengan baik… menang liga dan layak ke Liga Premier, tapi tahun ini terganggulah perancangan kita,” katanya.

Pada tahun 2019, Ikram Muda FC bermain di Liga M4 dan menduduki tempat kedua. Mereka kemudian bermain di pusingan playoff hingga ke peringkat akhir mengalahkan KSR Sains FC dan layak bermain di Liga M3.

Ikram Muda FC kini menduduki tempat kesembilan dengan satu seri dan satu kalah, mengumpul satu mata.

Fakhrulrazi turut berhadapan dengan isu gaji namun enggan mengulas lanjut bagi menjaga nama baik pengurusan.

“Saya bimbang jika kontrak ditamatkan. Kalau ditamatkan, harap-harap akan ada bayaran pampasan kepada kami,” tambah beliau.

Seorang lagi penyerang sebuah kelab di Liga M3, Nabilah Khan Razali, 29, yang bergantung punca rezeki pada bola sepak juga bimbang jika liga terpaksa dibatalkan tahun ini.

“Punca pendapatan kami terjejas untuk beberapa bulan ini. Perkara yang paling saya bimbang ialah, adakah kami dapat bermain semula seperti biasa untuk tempoh setahun ini.

“Jika tidak, ini akan menjejaskan pendapatan para pemain. Mungkin pemain terpaksa cari alternatif lain untuk pendapatan bulanan,” jelas beliau.

Nabilah bagaimanapun enggan mendedahkan sama gaji pemain setakat ini dibayar atau tidak sepanjang tempoh PKP kerana katanya, perkara itu rahsia dan untuk menjaga nama kelab.

“Tetapi makin lama liga ditangguhkan, makin perasaan ini gusar lebih-lebih jika jika liga dibatalkan tahun ini.

“Bermain bola sepak adalah punca rezeki utama untuk keluarga kecil saya. Belum lagi dikira pelbagai komitmen lain seperti bayaran pinjaman kereta, rumah, dan sara hidup,” katanya, yang sejak PKP mula membuat pekerjaan lain.

“Saya jual air tebu, berniaga kecil-kecilan dan ambil upah hantar makanan,” jelasnya.

Ditanya apakah sudah memikirkan untuk bersara, Nabilah menegaskan belum lagi kerana bermain bola sepak sudah sebati dalam jiwanya. – 3 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen