Pengusaha mangga harum manis, durian terkedu kerana Covid-19


Zaim Ibrahim

Pengusaha durian berdepan kesukaran untuk menjual hasil mereka susulan penguatkuasaan kawalan pergerakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mei, 2020.

SETIAP kali musim durian antara hujung April hingga Jun, pengusaha dusun di Balik Pulau biasanya akan membuka pondok di tepi jalan untuk pengunjung menikmati hasil tanaman mereka.

Namun, tahun ini mereka tidak dapat lagi berniaga dengan cara sama. Walaupun membuka bangsal, tiada pelanggan yang akan datang, kata seorang pekebun, Abdul Majid Hassan.

Oleh itu, beliau pada tahun ini terpaksa cuba menjual buahnya secara dalam talian, kata Abdul Majid, 65.

“Saya harapkan orang Balik Pulau sendiri untuk beli buah durian. Jual atas talian pun, hanya melalui Whatsapp kepada rakan-rakan dan pelanggan tetap.

“Kita hantar pun mungkin dalam daerah ini sahaja, kalau jauh takut buah nanti rosak,” kata beliau yang mengusahakan tanaman durian sejak 30 tahun lalu.

Beliau turut menjangkakan, pendapatannya akan merosot antara 30% hingga 40% kerana Perintah Kawalan Pergerakan yang melarang peniaga tepi jalan membuka pondok untuk menghidang buah.

“Tahun-tahun sebelum ini, kita boleh dapat hampir RM5,000 untuk satu musim, tapi tahun ini akan kuranglah.

“Saya tetap buka pondok tetapi kita sediakan cecair pembasmi kuman dan wujudkan penjarakan sosial. Tidak boleh lagi makan di pondok, jadi pelanggan hanya ambil untuk bungkus.

“Jadi kurang meriahlah musim durian tahun ini” tambah beliau.

Seorang pemborong durian di daerah itu, Ismail Hashim Zakaria juga merancang untuk menjual buah durian secara siaran langsung di Facebook.

“Untuk buah durian, tidak sesuai kalau kita pos ke satu-satu tempat. Takut buah rosak, kita pun rugi dan rosakkan kepercayaan pelanggan kepada kita.

“Nak buka gerai pun belum tentu boleh lagi walaupun PKP tamat. Jadi saya bersama beberapa rakan, akan berniaga secara siaran langsung di Facebook.

“Dalam video, kita tunjuk durian itu elok dalam dan luar kepada pelanggan, jika mereka berpuas hati barulah kita hantar. Itu pun mungkin dalam Pulau Pinang sahaja,” jelas Ismail, 32.

Menurut Ismail, beliau mendapatkan bekalan buah durian daripada 25 kebun durian di seluruh daerah itu untuk dijual kepada beberapa peniaga lain termasuk di Kedah.

“Kita akan tetap jalankan perniagaan, walaupun tak semeriah tahun-tahun lepas. Daripada 10 hingga 15 peniaga, mungkin tahun ini hanya tiga atau empat peniaga sahaja ambil durian daripada kita.

“Mungkin pendapatan kita terjejas dalam 50% berbanding tahun sebelum ini,” tambah beliau.

Perintah Kawalan Pergerakan yang melarang peniaga tepi jalan membuka pondok untuk menghidang buah kepada pelanggan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mei, 2020.

Di Perlis pula, PKP menyebabkan pengusaha tanaman mangga harum manis sukar menghantar hasil dengan cepat keapda pelanggan kerana kesesakan di pusat kurier.

Ini menyebabkan banyak buah harum manis yang terkenal di utara Semenanjung itu rosak dan merugikan pekebun.

Seorang pengusaha dari Beseri, Mohd Yusri Mohamad, berkata beberapa tempahan buah mangganya terpaksa diganti dengan buah baru, selepas pelanggan mengadu buah mereka rosak.

“Buah mangga harum manis lebih sensitif berbanding buah-buahan lain. Hari ini kita petik daripada pokok, kita peram satu hari dan ada masa tiga hari untuk dimakan.

“Lebih daripada empat hari, buah akan mula rosak. Ada tempahan saya lapan hari baru sampai kepada pelanggan. Biasanya saya ganti buah yang baru atau bayar ganti rugi.

“Saya beri pilihan kepada pelanggan,” kata Mohd Yusri, 34 kepada The Malaysian Insight.

Yusri yang mempunyai 40 batang pokok mangga dalam kebun satu ekarnya turut berkata, perniagaanya terjejas hingga 30% akibat PKP yang kini dilanjutkan hingga 12 Mei.

“Setakat tahun ini saya hampir meraih RM10,000. Pada tahun lepas, secara keseluruhan saya dapat RM20000. Tapi musim buah harum manis juga akan tamat tidak lama lagi, iaitu bulan depan.

“Walaupun kita masih dapat menjalankan perniagaan seperti biasa tetapi suasana berbeza. Kita harap PKP boleh tamat akhir April, tetapi disambung lagi,” katanya.

Seorang lagi pekebun dari Chuping, Perlis, Salikin B Che Selimen, 39, pula tidak menyangka menerima permintaan tinggi melebihi daripada stok.

Hasil jualannya sejak tiga minggu lalu juga meningkat kepada RM10,000 kerana banyak membuat promosi di Facebook.

“Di daerah Chuping saja sehari kurang-kurang lima tan buah dibawa keluar untuk penghantaran. Media sosial banyak bantu peniaga-peniaga di sini.

“Kebanyakkan daripada kami mempunyai pelanggan tetap, ditambah musim PKP orang banyak duduk di rumah dan layari Facebook, jadi jualan kita meningkat kerana iklan-iklan di situ.

Salikin bagaimanapun mengakui, penghantaran buah-buahan secara pos lebih mencabar berbanding pelanggan datang sendiri ke kebun.

“Apabila kita pos buah, macam-macam masalah kita hadapi antaranya, alamat yang salah dan pelanggan gagal dihubungi, kasta Salikin.

“Ada bungkusan kita rosak sebab kena air, dan merosakkan buah-buahan kita. Saya sendiri berdebar apabila buah sampai kepada pelanggan sebab nak tahu sama ada mereka terima buah yang masih segar atau tidak.

“Tapi mujur, setakat ini baru tiga kali ganti buah selepas pelanggan mengadu buah mereka rosak,” tambahnya.

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang bermula minggu depan bagaimanapun akan memberi lebih banyak kelonggaran kepada pengusaha dan peniaga. – 3 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen