Pengusaha restoran masih bimbang untuk terima pelanggan


Ravin Palanisamy

Rata-rata pemilik premis makanan masih bimbang untuk menerima pelanggan berikutan penularan wabak Covid-19.– Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mei, 2020.

PENGENDALI restoran mengambil pendekatan berjaga-jaga selepas Putrajaya membenarkan mereka menerima pelanggan di premis mereka bermula Isnin.

Mereka masih melihat bagaimana untuk mematuhi peraturan baharu yang dikenakan oleh kerajaan untuk menerima pelanggan.

Namun ketika ini mereka masih komited meneruskan pengaturan untuk bungkus makanan ketika perintah kawalan pergerakan.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Jawahar Ali Taib Khan berkata, mereka menerima secara positif menerima keputusan Putrajaya namun berkata, kebanyakan ahlinya masih memilih untuk meneruskan bungkus makanan.

“Sebilangan ahli kami berkata, mereka mahu membuka kedai dalam waktu operasi yang ditetapkan namun ada yang mengatakan mereka masih mahu kekal dengan cara bungkus makanan, mungkin sehingga selepas Hari Raya.

“Keselamatan pekerja juga jadi keutamaan kami kerana risiko wabak masih ada,” katanya.

Jawahar berkata, walaupun restoran mahu mematuhi garis panduan yang diberikan kerajaan, beliau berkata ia agak mustahil untuk dilaksanakan dengan sempurna kerana ada terdapat halangan.

Kebanyakan pemilik premis makanan mahu kekal membungkus makanan kepada pelanggan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mei, 2020.

“Memeriksa suhu badan dan menyediakan pembasmi kuman masih ok, tetapi untuk mengambil butiran daripada pelanggan itu akan jadi isu. Tidak semua yang mahu berikan kerjasama dan berikan butiran mereka kerana ia adalah peribadi dan kita tidak boleh memaksa mereka.

Satu lagi isu adalah jarak dua meter antara meja makan. Bagi premis kecil dan sederhana, ia adalah mustahil kerana kebanyakan mereka hanya ada empat hingga lima meja di premis mereka.

“Jadi, untuk kurangkan semua masalah ini, ada ahli kita yang memilih untuk menyediakan makanan bungkus,” katanya dan menambah, keputusan untuk membenarkan restoran beroperasi dan menyediakan ruang makan itu terpulang kepada pemilik restoran.

Sementara itu Presiden Persatuan Pemilik Restoran India Malaysia, T. Muthusamy merasakan sukar untuk mematuhi semua peraturan untuk benarkan pelanggan makan di premis.

Beliau berkata, persatuan itu meragui sekiranya langkah itu boleh dipatuhi namun menasihatkan ahlinya untuk berurusan dengan pihak berkuasa tempatan berhubung perkara itu.

“Pemilik perlu mempertimbangkan perkara ini daripada kapsiti mereka dan melihat sama ada ia bleh dilaksanakan. Sekiranya mereka boleh memastikan keselamatan pekerja dan pelanggan tidak terjejas, mereka boleh teruskan.

“Dalam kes ini, kami di persatuan hanya boleh memberi nasihat tetapi terpulang kepada mereka untuk membuat keputusan,” katanya.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, restoran boleh mula menerima pelanggan di premis mereka bermula 4 Mei di bawah prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengelakkan penularan Covid-19.

Beliau berkata, premis makanan perlu memastikan pekerja dan pelanggan mematuhi penjarakan sosial di premis mereka dengan mengatur meja dan kerusi dalam jarak dua meter, dan butiran pelanggan perlu direkodkan, sekiranya jangkitan Covid-19 dikesan agar mereka boleh dihubungi untuk ujian saringan.

Pemilik restoran Cina, Oscar Beh Wing Hock, 38, berkata ia terlau berisiko untuk membenarkan pelanggan makan di restoran buat masa ini dan mereka akan teruskan membungkus makanan.

Menurutnya, restorannya juga tiada ruang cukup untuk membolehkan syarat dua meter meja makan dipatuhi.

“Kami memutuskan untuk teruskan dengan membungkus makanan sehingga pengumuman dibuat untuk meneruskan perniagaan seperti biasa.

“Malah, dengan membungkus makanan, kami tidak perlu mengambil butiran pelanggan,” katanya.

Pemilik premis makanan turut yakin masih ramai pelanggan yang ragu untuk makan di premis mereka dan memilih untuk bungkus makanan dan makan di rumah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mei, 2020.

Oscar juga berkata, ada segelintir individu, terutama yang berkeluarga masih bimbang dan memilih untuk tidak makan di restoran ketika ini.

“Mereka memilih untuk bungkus makanan dan makan di rumah kerana ia lebih selamat,” katanya.

Pemilik restoran nasi kandar, Shaik Fazrin turut menyuarakan pandangan yang sama dan berkata restoran mamak akan berdepan lebih banyak masalah daripada syarat yang dikenakan oleh kerajaan.

“Saya rasa pengumuman untuk benarkan premis makanan menerima pelanggan masih terlalu awal. Sekiranya berlaku sesuatu, petugas barisan hadapan akan berdepan masalah.

“Mereka boleh ikut peraturan, namun tiada jaminan seseorang itu akan selamat daripada virus kerana kedai saya kecil dan sukar untuk amalkan penjarakan sosial.

“Lagi pun, berapa ramai pelanggan yang akan mematuhinya. Sebagai contoh, restoran diarahkan tutup pukul 10 malam, namun pelanggan datang pukul 9.30 malam dan akan minum sehingga selepas pukul 10 malam.

“Sekiranya kami minta mereka beredar, sudah pasti akan timbul masalah dan mengatakan kenapa tidak boleh duduk di kedai sehingga tutup,” katanya.  

PKP memasuki hari ke 47 setakat hari ini, yang mana ia telah memberi impak kewangan yang besar kepada industri makanan dan minuman negara. – 3 Mei, 2020.





 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen