Lonjakan tiga digit kes Covid-19 hentikan trend penurunan kes


Sheridan Mahavera

Kes baharu Covid-19 masih dicatat paling rendah sejak Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan 18 Mac lalu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mei 2020.

DUA hari terkecuali, jumlah kes Covid-19 dalam minggu terakhir adalah di bawah 60 sementara angka kes yang pulih sama ada meningkat dua kali ganda atau tiga kali ganda berbanding kes jangkitan baharu.

Hakikatnya, kes-kes baharu masih dicatat paling rendah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dimulakan pada 18 Mac sementara kes pulih juga dicatat antara yang tertinggi.

Menurut pihak berkuasa, trend melandai ini menunjukkan bahawa kes virus di Malaysia telah semakin reda, menjadikan ia sebagai alasan utama keputusan Putrajaya mengurangkan sekatan bagi PKP.

Namun, lonjakan tiga angka dalam kes baharu pada 2 Mei menunjukkan bahawa virus tersebut tidak menunjukkan tanda-tanda akan mati menunjukkan rakyat Malaysia masih perlu mengambil serius langkah-langkah penjarakan sosial bagi mengelak terkena jangkitan di masa depan yang sukar diramal.

Sebilangan besar kes baharu antara Sabtu, 25 April hingga Jumaat, 1 Mei, dikesan daripada rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dan pekerja asing di dua kawasan yang telah ditutup sepenuhnya - Masjid India di Kuala Lumpur dan Selayang.

Petugas kesihatan mengambil sampel daripada seorang individu yang menjalani ujian saringan Covid-19. Trend penurunan kes baharu semakin meningkat susulan pelaksanaan kawalan pergerakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mei 2020.

Pakar memberi amaran bahawa tindakan melonggarkan PKP tidak boleh menjadikan orang ramai bersikap sambil lewa, terutama mereka yang tinggal di negeri-negeri yang mempunyai banyak daerah “zon hijau” kerana jangkitan baharu masih boleh muncul secara tiba-tiba.

Trend menurun mesti dipadankan dengan kewaspadaan berterusan kerana kini semuanya terserah kepada rakyat Malaysia bagi menentukan apakah trend itu berterusan atau lonjakan baharu akan muncul sehingga PKP lebih ketat dilaksanakan semula.

“Dengan pengalaman trauma PKP, saya fikir tidak mungkin rakyat Malaysia akan rasa lega terus,” kata Azrul Mohd Khalib yang mengetuai sebuah badan pemikir awam.

“Terutama jika kita ingatkan semua orang bahawa akan ada lonjakan jika kita leka. Kita perlu terus berjaga-jaga untuk jangka masa panjang, dalam ‘norma baharu’,” kata Azrul, dari Pusat Kesihatan dan Sosial Galen.

Trend kes melandai

Koronavirus setakat ini menjangkiti 6,176 dan membunuh 103 individu setakat 2 Mei sementara 4,326 pesakit telah pulih daripada penyakit ini.

25 April menyaksikan lanjutan trend di mana jumlah pemulihan kes melebihi kes baharu, satu trend yang dipecahkan pada 29 April.

Antara 25 hingga 29 April: Pada 25 April, angka kes pulih berjumlah 99, 26 April, sebanyak 100, dan 95 kes pada 27 April seterusnya 75 kes pada 28 April.

Sebagai perbandingan, 51 kes baharu dilaporkan pada 25 April, 38 pada 26 April, 40 (27 April) dan 30 pada 28 April.

Pada 29 April pula, lonjakan mendadak dengan catatan 94 kes baharu berbanding 55 kes pulih menjadikan trend dipecahkan seketika, namun tetapi penjelasan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah menunjukkan bahawa lonjakan mendadak ini boleh adalah daripada luar.

Ini kerana 72 dari 94 kes baharu adalah daripada rakyat Malaysia yang kembali dari Indonesia, sementara 22 lagi adalah jangkitan tempatan yang baharu.

Pada 30 April, pemulihan kembali mengatasi kes baharu dengan angka 84 kes pulih berbanding 57 kes baharu, namun pada 1 Mei, trend kembali berubah apabila kes baharu berjumlah 69 sementara hanya 57 kes pulih dicatatkan.

Masyarakat dinasihatkan agar tidak terlalu selesa dengan kelonggaran kawalan pergerakan dan digesa meneruskan penjarakan sosial. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mei 2020.

Walaupun begitu, pada 1 Mei Noor Hisham mengatakan bahawa ‘lengkungan telah berjaya diratakan’ dan operasi anti-Covid bergerak ke fasa ‘pemulihan’.

Pada hari yang sama, kerajaan Perikatan Nasional mengumumkan bahawa PKP akan dilonggarkan dan kebanyakan aktiviti perniagaan  akan dibuka semula pada 4 Mei kecuali sektor yang mengumpulkan ramai orang dan kontak rapat.

Walaupun kes baharu meningkat hingga 105 pada 2 Mei, Noor Hisham mengatakan keputusan Putrajaya untuk 4 Mei masih terus dijalankan dan pihak berkuasa tidak akan teragak-agak untuk meletakkan kawasan yang menunjukkan lonjakan ke dalam perintah berkurung atau PKPD.

Namun di sebalik kemajuan yang dicapai dalam perang melawan Covid-19, beberapa tindakan pihak berkuasa seperti polis dan imigresen dilihat berubah apabila sekumpulan besar pekerja asing tanpa dokumen ditahan di kawasan Masjid India.

Operasi ini dikritik kumpulan masyarakat sivil kerana bertentangan dengan usaha menjaga jarak sosial dan mengirim pesan yang salah kepada pendatang tanpa dokumen yang belum diuji oleh pihak berkuasa.

Azrul daripada Galen Centre mengatakan bahawa penahanan itu tidak adil bagi masyarakat buruh yang telah menyumbang kepada ekonomi Malaysia.

“Populasi ini hidup dalam kalangan kita dan bekerja bersama kita. Bagi melindungi semua orang, kita juga harus menjaga kesihatan, kesejahteraan dan perlindungan mereka. Covid-19 bukan semata-mata masalah pendatang.

“Salah untuk kita melihatnya seperti itu. “Norma baharu” juga harus merangkumi bagaimana kita melihat kumpulan seperti itu. – 3 Mei 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen