Malaysia sedia jika kes meningkat semula, kata Ismail Sabri


Mohd Farhan Darwis

Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob yakin situasi di dalam negara terkawal dan tidak akan menjadi seperti di Jepun kerana Malaysia masih menutup sempadan negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Mei, 2020.

MALAYSIA bersedia menghadapi peningkatan semula kes Covid-19 selepas lebih banyak sektor dibenar beroperasi bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kata Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Kanan Keselamatan itu yakin situasi di dalam negara terkawal dan tidak akan menjadi seperti di Jepun kerana Malaysia masih menutup sempadan negara.

“Perbandingan dengan Hokkaido, di Jepun, mereka buka negara mereka dan biarkan kemasukan warga luar ke negara mereka. Waktu itu musim bunga sakura ramai datang dari luar dan berlaku kes import.

“Bezanya, kita masih tutup pintu masuk kita daripada warga asing dan warga kita yang balik daripada luar negara dikuarantin wajib. Ini perbezaan kita,” kata Ismail Sabri dalam sidang media hariannya.

Katanya, walaupun kelonggaran dibuat melalui PKPB, Malaysia masih menguatkuasa kawalan bersasar dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikenakan jika kes meningkat.

“Katakan kawasan itu positif, kita kunci kawasan itu. Jika ada kawasan kita kunci dengan PKPD di kawasan melibatkan Covid-19 positif. Kita mampu bersedia kerana pendekatan kita berbeza.

“Saya katakan kita bersedia (kemungkinan penularan baru), salah satunya kerana kita kawal kemasukan rakyat asing yang bawa kluster import.

“Tidak ada kluster import lagi di negara kita kerana semua sempadan dikunci,” kata menteri pertahanan itu lagi ketika ditanya. – 2 Mei, 2020.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen