Program Pengekalan Pekerja tetap diteruskan, kata menteri


Diyana Ibrahim

Menteri Sumber Manusia M Saravanan pengumuman Perkeso berpunca dari salah faham namun ia tetap diteruskan selepas perbincangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Mei, 2020.

PROGRAM Pengekalan Pekerja (ERP) akan diteruskan dengan dana tambahan, kata Menteri Sumber Manusia M Saravanan yang berkata pengumuman pembatalannya semalam berpunca dari salah faham.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight, pengumuman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berpunca dari salah faham namun ia tetap diteruskan selepas perbincangan.

“Itu salah faham tapi kita teruskan selepas perbincangan dibuat dengan CEO (Mohammed Azman Aziz Mohammed) dan Menteri Kewangan (Tengku Zafrul Aziz) katanya ketika dihubungi malam tadi.

“Walaupun pihak awal kita rancang 33,000 tapi ada sedikit peningkatan walau bagaimanapun mengambil keadaan ekonomi sekarang Perkeso akan meneruskan bayaran,” katanya.

Ditanya mengenai suntikan dana tambahan kepada RM120 juta yang diperuntukkan kerajaan, Saravanan berkata ia akan mengikut berapa jumlah permintaan.

Tambahnya lagi pihaknya bersama Perkeso kini sedang meneliti jumlah permohonan dan akan mula membuat bayaran kepada pekerja bermula minggu depan.

“Mereka yang telah memohon perlu tunggu sementara kita memperhalusi permohonan dan minggu depan kita akan mula membayar,” katanya.

Pada masa sama beliau berkata biarpun kerajaan meneruskan ERP namun menyarankan majikan untuk memohon program subsidi upah.

Terdahulu Perkeso mengumumkan penamatan program untuk majikan tersebut tersebut di Twitter semalam.

Menurut agensi tersebut program ERP ditamatkan sepenuhnya berkuatkuasa 22 April dan permohonan baharu selepas tarikh berkenaan tidak akan diproses.

“Untuk makluman permohonan untuk Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) telah ditamatkan sepenuhnya berkuatkuasa pada 22 April 2020 memandangkan tiada peruntukan dana tambahan.

“Oleh itu, sebarang permohonan baharu yang dibuat selepas tarikh berkenaan tidak akan diproses,” menurut Perkeso di Twitter.

Pengumuman sama turut dibuat di laman web ERP Perkeso, yang mana ia menggesa majikan untuk memohon program subsidi upah.

Dalam satu kenyataan lewat malam tadi, Perkeso seterusnya menjelaskan mesej dimuat di Twitter itu tidak benar dan bukan gambaran sebenar mengenai status bantuan ERP.

Ia turut menyatakan, sebanyak 27,222 permohonan daripada majikan yang melibatkan seramai 230,652 pekerja telah diterima sehingga 1 Mei ini.

Agensi itu berkata dana yang diperuntukkan kerajaan sebanyak RM120 juta itu mengambil kira bantuan kewangan untuk tempoh sebulan bagi 200,000 pekerja.

“Ketika ini Perkeso masih memproses permohonan untuk ERP selain mengagihkan dana kepada permohonan yang telah diluluskan, berdasarkan syarat yang telah ditetapkan,” kata agensi itu.

Perkeso juga memberi jaminan bahawa permohonan yang telah dibuat sehingga 27 April ini  diluluskan dan layak untuk terus menikmati bantuan kewangan ini.

ERP dilancarkan pada 16 Mac untuk menyediakan bantuan kewangan segera kepada pekerja sektor swasta yang dipaksa mengambil cuti tanpa gaji berikutan pandemik Covid-19.

Ia membolehkan pekerja sektor swasta menerima RM600 sebulan untuk satu hingga enam bulan, bergantung kepada tempoh cuti tanpa gaji mereka.

Pekerja yang mamhu memohon perlu berdaftar dengan Sistem Insurans Pekerjaan Perkeso (EIS) dan mempunyai pendapatan bulanan RM4,000 ke bawah.

ERP dilancarkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai satu bantuan kepada pekerja untuk menghadapi kesan ekonomi disebabkan wabak Covid-19. – 2 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen