HANYA satu atau dua daripada 10 kanak-kanak di luar bandar yang mengikuti kelas dalam talian ekoran akses internet yang terhad dan tiada peranti elektronik kerana keluarga kurang berkemampuan.
Halangan ini menyebabkan mereka ketinggalan dalam pembelajaran selepas sekolah ditutup kerana perintah kawalan pergerakan (PKP).
Peratusan penglibatan murid tinggi di kawasan bandar dan separa bandar yang mempunyai capaian internet yang baik dan lebih meluas, selain murid tergolong dalam keluarga yang berpendapatan sederhana dan tinggi, kata kumpulan guru dan ibu bapa.
Di kawasan bandar seperti Kuching dan Lembah Klang, penglibatan murid dalam pembelajaran dalam talian mencecah hampir 70% bergantung kepada mata pelajaran guru. Bagaimanapun, murid dari keluarga B40 masih berdepan halangan mengikuti kelas dalam talian.
Guru sendiri selain sukar membahagikan masa antara menguruskan rumah dan menyediakan bahan untuk kelas semasa PKP, juga menghadapi masalah peranti elektronik dan akses internet.
Sambutan yang kurang juga adalah kerana pembelajaran dalam talian dianggap sebagai penambahan kerana Kementerian Pendidikan menyedari murid miskin dan di kawasan luar bandar mempunyai masalah akses internet.
“Murid dan guru masih dianggap ‘bercuti’ kerana PKP.
“Rasional di sebalik kelas dalam talian ini diadakan adalah murid masih boleh terus belajar semasa ‘bercuti’ dan masa mereka tidak terbuang begitu sahaja semasa PKP.
“Tetapi tidak bermakna untuk menggantikan pelajaran di kelas di sekolah. Bahan-bahan kelas dalam talian sebenarnya sama seperti kerja rumah,” kata seorang pentadbir sekolah di Kuala Lumpur.
Pembelajaran dalam talian dijalankan melalui platform Google Classroom di mana guru mengajar, memberi latihan dan kuiz yang dihantar dalam kelas maya.
Penglibatan juga bergantung kepada cara guru kerana bukan semua mempunyai peranti yang cukup atau talian internet yang stabil. Ada guru memberi arahan kepada murid menerusi kumpulan WhatsApp dengan ibu bapa.
Murid boleh mengakses bahan yang dihantar oleh guru pada bila-bila masa.
“Ada murid yang terpaksa berkongsi telefon atau komputer riba dengan adib-beradik,” kata seorang guru sekolah rendah di Terengganu.
“Jadi, mereka tak boleh log in serentak kerana adik beradik yang lain pun nak guna, ataupun ibu bapa mereka perlu gunakannya. Jadi, mereka kena ikut giliran. Sebaik-baiknya tentukan jadual.”
Kerja rumah dan kuiz yang sudah siap akan dimuat naik di kelas dalam talian dan melalui cara ini guru akan dapat melihat berapa ramai murid yang terlibat. – 14 Mei, 2020.
Komen