Ezra Zaid akan dibicara di Mahkamah Syariah pada 22 Februari


Chan Kok Leong

Pemilik ZI Publications Ezra Zaid akan dibicarakan kerana menjual, mengedar dan memiliki 180 salinan buku penulis Kanada, Irshad Manji. – Gambar irshadmanji.com 23 November, 2017.

MAHKAMAH Syariah Selangor mengarahkan penyampai radio BFM dan pemilik syarikat penerbitan ZI Publications Ezra Zaid untuk dibicarakan berhubung penjualan, pengedaran dan pemilikan 180 salinan buku penulis Kanada Irshad Manji. 

Hakim Syariah Syukran Yusoff berkata, kes berkenaan, yang bermula pada 2012 sudah berlarutan terlalu lama dan memandangkan tiada isu perundangan dengan Seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995, perbicaraan perlu diteruskan. 

Mahkamah Persekutuan pada 28 September, 2015 memutuskan bahawa Seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995 adalah sah dan tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan. 

Syukran kemudiannya menetapkan 22 Februari depan untuk Ezra dibicarakan kerana menjual dan mengedar buku Irshad yang diterjemah bertajuk “Allah, Kebebasan dan Cinta”.

Ezra diwakili Zulkfli Che Yong manakala pihak pendakwaan diwakili Sofian Ahmad, Fairus Jaafar, Khafizah Ahmad Khairi dan Shafezan Rusli. 

Pada 29 Mei, 2012, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membuat serbuan di pejabat ZI Publications dan merampas 180 salinan terjemahan buku Irshad, “Allah, Kebebasan dan Cinta”.

Susulan itu, Ezra memfailkan semakan kehakiman pada Julai 2012 bagi mencabar sahsiah rampasan itu dan kesahan Seksyen 16 Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989.

Beliau turut memfailkan rujukan secara berasingan kepada Mahkamah Persekutuan mempersoalkan kecekapan Dewan Undangan Negeri Selangor untuk  menggubal seksyen S16 berkenaan dengan Perkara 74 (2) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau turut memfailkan semakan, mempersoalkan konsistensi S16 dengan Perkara 8 dan 10 Perlembagaan Persekutuan. Perkara 8 memperuntukan hak kesaksamaan manakala Perkara 10 memperuntukan hak kepada rakyat Malaysia kebebasan bersuara.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijangka mendengar hujah-hujah yang berkaitan dengan konsistensi S16 pada 5 Disember. Mewakili Ezra dalam kes itu ialah Fahri Azzat manakala Jais akan diwakili oleh bekas presiden Majlis Peguam Sulaiman Abdullah.

Pada 7 Mac, 2013, Ezra didakwa di bawah Seksyen 16 kerana menerbit dan mengedarkan buku Irshad dan memiliki 180 salinan buku berkenaan.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman maksimum denda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali. – 23 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen