DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu lanjutkan tarikh tutup maklum balas Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 daripada Mei ke Ogos bagi membolehkan innput lebih baik daripada penduduk bandar, kata Selamatkan Kuala Lumpur (SKL).
Kumpulan penduduk itu memberitahu The Malaysian Insight bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang dilanjutkan sehingga 12 Mei tidak membolehkan DBKL menjalankan sesi taklimat serta mendapatkan maklum balas berhubung pelan itu dengan lebih baik.
Timbalan Pengerusi SKL Mumtaz Ali berkata, DBKL sepatutnya melanjutkan pendengaran itu kepada tiga bulan selepas PKP ditamatkan.
“Taklimat, pertemuan dan sesi dialog berhubung pelan struktur masih belum dijalankan.
“Sepatutnya ia dijalankan lebih awal, malangnya PKP dikuatkuasakan. Jadi kita memohon agar ia dilanjutkan.”
Pada 18 April, DBKL melanjutkan tempoh masa untuk maklum balas berhubung Pelan Struktur Kuala Lumpur sehingga 18 Mei, susulan PKP.
DBKL menasihatkan penduduk dan pihak berkepentingan untuk menghantar idea dan cadangan secara dalam talian.
Pelan struktur yang dilancarkan pada Februari, merupakan visi, objektif dan hala tuju strategik bagi garis panduan pembangunan Kuala Lumpur untuk 20 tahun akan datang.
Mumtaz berkata, terdapat kemungkinan PKP yang sepatutnya tamat pada 12 Mei akan dilanjutkan.
“Ini boleh berlaku, kerana kerajaan tidak mahu berlaku perhimpunan Hari Raya.
“Ini bermakna DBKL tidak boleh mengadakan pertemuan dengan pihak berkepentingan kerana tarikh tamat akan berakhir.”
Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan kawalan pergerakan dilonggarkan dan tiada petunjuk sama ada PKP akan dilanjutkan selepas 12 Mei.
Mumtaz berkata, SKL menolak notis DBKL kerana perlu ada pertemuan dan rundingan sebelum penutupan pelan struktur.
“Kami menolaknya, kerana pendirian kami jelas – lanjutkan tarikh tutup kepada tiga bulan bermula PKP ditamatkan.
“Tidak perlu terburu-buru. Kuala Lumpur adalah untuk semua, jadi DBKL perlu pastikan mereka mendapat maklum balas menyeluruh. Kami tidak mahu sebarang masalah.”
Mumtaz berkata beliau akan menghantar surat rasmi kepada DBKL berhubung lanjutan itu.
Terdahulu, SKL mendakwa cara DBKL mendapatkan maklum balas pelan struktur itu adalah tidak telus dan tiada pertemuan awam.
Mereka turut mempersoalkan keikhlasan pihak berkenaan menjemput orang awam memberi ulasan berhubung pelan itu apabila laporan berkenaan penuh dengan butiran teknikal yang sukar difahami.
PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 yag setakat ini menjangkiti 6,071 orang dan meragut 103 nyawa. – 2 Mei, 2020.
Komen