Tak perlu gelojoh buka semula sektor pada 4 Mei, kata Najib


Walaupun penyambungan semula aktiviti harus dilakukan dengan langkah garis panduan kesihatan yang ketat, Najib mengatakan pendekatan "sekaligus" untuk begitu banyak sektor akan sukar dikendalikan kemudian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mei 2020.

MINGGU terakhir sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir pada 12 Mei harus digunakan untuk mempersiapkan pembukaan semula lebih banyak sektor, kata bekas perdana menteri Najib Razak.

Kata beliau, pengumuman lebih banyak sektor-sektor dalam negara dibuka semula pada hari Isnin seperti yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini, adalah tergesa-gesa, dan sepatutnya tempoh akhir PKP harus digunakan untuk mendidik orang ramai tentang langkah kesihatan yang harus diterapkan di tempat kerja.

“Gunakan tempoh satu minggu ini juga untuk ajar rakyat bagaimana nak amalkan SOP social distancing dan menyesuaikan diri semasa di tempat-tempat umum.

“Beritahulah awal-awal supaya kita boleh membuat persediaan yang lebih teratur. Ini hari Jumaat beritahu, hari Isnin depan dah perlu kerja. Pula tu, hari ini adalah hari kelepasan am. Mahu kelam kabut dibuatnya.

“Perancangan kena betul kerana ia melibatkan rakyat,” katanya dalam catatan di Facebook.

Walaupun penyambungan semula aktiviti harus dilakukan dengan langkah garis panduan kesihatan yang ketat, Najib mengatakan pendekatan “sekali gus” untuk begitu banyak sektor akan menyebabkan ianya sukar dikendalikan.

“Slow and steady. Sektor demi sektor. Secara beransur ansur. Tak perlu gelojoh sangat.

“Bila kita buat sekali gus macam ini, ia akan beri risiko kepada khidmat kesihatan dan petugas kesihatan kita. Adakah mereka bersedia jika berlaku kluster baharu secara mendadak dan jumlah yang ramai? Kanada dan Jepun sudahpun berlaku apabila mereka longgarkan lockdown, kes jangkitan meningkat mendadak,” tambahnya.

Terdahulu, Muhyiddin mengumumkan sebilangan besar sektor dan aktiviti ekonomi, kecuali yang melibatkan perhimpunan besar dan kontak rapat, akan beroperasi semula mulai Isnin.

Najib menyatakan kebimbangan dalam hantaran Facebooknya, mengatakan data mengenai jangkitan Covid-19 baharu menunjukkan bahawa virus itu masih menular di masyarakat setempat.

Beliau mengetengahkan kes yang dilaporkan hari ini, di mana dari jumlah keseluruhan 69, 57 adalah kes tempatan sementara selebihnya adalah kes yang diimport.

“Maka, kita bertanya, apa keperluan untuk beri kelonggaran begitu besar secara serentak bermula Isnin depan walaupun fasa ke-4 PKP ini hanya akan berakhir pada 12 Mei?”

Malaysia melaporkan dua digit jangkitan baru setiap hari sejak 17 April, setelah mencatat antara 100 hingga 200 kes setiap hari.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengatakan negara ini telah mencapai puncak jangkitan dengan 217 kes baharu pada 3 April namun beliau berkata langkah berjaga-jaga yang berterusan dan mematuhi jarak sosial dan penjagaan kebersihan diri mesti terus diamalkan. – 1 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen