SEBUAH kumpulan hak asasi hari ini membantah tindakan Putrajaya yang melakukan penangkapan pekerja asing tanpa dokumen di Menara One City Plaza di Kuala Lumpur yang berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan yang Dipertingkatkan (PKPD).
Tenaganita, sebuah kumpulan penyokong hak pendatang, pelarian, wanita dan kanak-kanak mengatakan bahawa Putrajaya tidak mengotakan janjinya sebelum ini yang mengatakan tidak akan ada operasi terhadap pekerja asing tanpa dokumen semasa PKP.
“Saya marah dengan kerajaan. Di manakah belas kasihan anda dalam hal ini? Mereka tidak dapat bekerja dan dan tidak ada pendapatan kerana wabak, sekarang anda tangkap mereka kerana melanggar kesalahan imigresen,” kata Aegile Fernandez, yang merupakan pengarah dan perunding Tenaganita mengenai pemerdagangan manusia.
“Apa yang terjadi dengan janji bahawa pekerja yang tidak berdokumen tidak akan ditangkap di bawah PKP? Bagaimana kita boleh percaya anda? Anda harus hormati mereka walaupun mereka tidak berdokumen. Mereka datang ke sini dengan alasan. Mereka adalah orang yang membantu membangunkan negara ini .
“Pesan saya kepada kerajaan, lebih baik kirim semua pekerja asing pulang dan membiarkan orang kita sendiri bekerja di tapak pembinaan. Sekurang-kurangnya para pendatang dapat pulang dengan maruah dan mereka tidak perlu menjadi hamba di sini.”
Pada hari Rabu, Menteri Kanan Ismail Sabri mengatakan semua pendatang tanpa dokumen yang dijumpai di kawasan di bawah PKPD akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen.
Menteri itu memberitahu wartawan di Putrajaya bahawa kerajaan boleh menggunakan penjara sementara sebagai pusat tahanan jika tidak ada ruang di depot imigresen.
Ismail sebelumnya memberi jaminan bahawa pekerja asing, termasuk mereka yang tidak memiliki dokumen, dan menyertai acara tabligh di Sri Petaling tidak akan ditangkap jika mereka tampil untuk pemeriksaan Covid-19.
“Kami tidak akan fokus pada dokumen mereka melainkan apakah mereka positif dengan Covid-19. Kes paling ekstrem yang boleh berlaku ialah kuarantin 14 hari (untuk Covid-19). Itu saja (itu boleh terjadi),” kata menteri kanan itu.
Aegile berkata, pemerintah akan selalu memilih mangsa daripada menahan atau mendakwa majikan atau ejen.
“Mengapa mangsa mesti ditangkap? Majikan, ejen atau sub-kontraktor tidak pernah ditahan kerana mengambil pekerja tanpa dokumen,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Jelas kerajaan tidak memiliki dasar mengenai hal ini. Kerajaan sering jadi punca masalah dalam isu ini,” tambahnya.
Sumber memberitahu The Malaysian Insight bahawa pihak berkuasa telah menahan pekerja asing tanpa dokumen di Menara One City pagi ini.
Jabatan imigresen dan polis masih belum mengeluarkan kenyataan mengenai perkara itu. – 1 Mei 2020., 2020.
Komen