ADUN Permas Che Zakaria Mohd Salleh hari ini diumumkan sebagai pengerusi Kejora selepas pemecatannya sebagai pengarah agensi itu mencetus perbalahan di kalangan pemimpin Umno dan Bersatu di Johor.
Che Zakaria yang merupakan wakil rakyat Bersatu dipecat daripada jawatan ahli lembaga pengarah Kejora selepas kerajaan Pakatan Harapan tumbang di Putrajaya dan juga di Johor.
Pemecatan itu dilaporkan antara isu yang menimbulkan kemarahan pemimpin Bersatu terhadap pemimpin Umno pada masa ini di Johor.
Ia mencetuskan pertikaman lidah dan serangan disasarkan kepada Menteri Besar Hasni Mohamad.
Pemimpin Bersatu Johor seperti setiausaha Solihan Badri mahu PN mengakui pengaruh parti itu dan tidak hanya memandang 11 Adun Bersatu sebelah mata.
Ia disokong bekas Menteri Besar Osman Sapian, juga dari Bersatu yang melihat pengagihan jawatan tidak dilakukan secara saksama.
Kenyataan itu dibalas Naib Presiden Umno Khaled Nordin, yang menegaskan pembentukan PN di Johor tidak pernah ada dalam rancangan.
Malah, beliau turut mengingatkan sekiranya angka dalam Dun masih menjadi permainan politik, Bersatu dan Umno akan rugi.
Seterusnya, Timbalan Pengerusi Umno Johor Nur Jazlan Mohamed memberi amaran serangan berterusan terhadap Hasni berisiko membuatkan DUN dibubarkan.
Perkembangan itu menyebabkan pemimpin kedua-dua parti terpaksa tampil untuk mengendurkan kemarahan tersebut bagi mengelak sentimen itu merebak ke negeri lain bawah Perikatan Nasional.
Pelantikan Che Zakaria diumumkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bersama empat lagi wakil rakyat PN yang dilantil sebnagai pengerusi agensi kementerian itu.
Senarai pelantikan hari ini juga menyebut seorang lagi wakil rakyat Bersatu, senator Razali Idris memimpin Ketengah.
Dua ahli Parlimen Umno pula, Azizah Dun(Beaufort) Mohd Salim Sharif Umno (Jempol) masing-masing mengetuai Mara dan Risda.
Ahli Parlimen PAS, Nik Abduh Nik Aziz (Bachok) pula dilantik sebagai pengerusi Kesedar.
Kenyataan KPLB menyebut menterinya Abd Latiff Ahmad menyampaikan surat watikah pelantikan kepada kelima-lima pengerusi selepas mendapat persetujuan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
“Pelantikan dibuat setelah mengambil kira keupayaan kepimpinan, pengalaman dan sumbangan mereka kepada rakyat.
“Tempoh Pelantikan sebagai Pengerusi Agensi di bawah KPLB adalah bagi dua (2) tahun mulai 1 Mei 2020 sehingga 30 April 2022,” kenyataan itu dipetik. – 1 Mei, 2020.
Komen