Masalah dengan Umno Johor boleh tular ke negeri lain, kata pemimpin Bersatu


Mohd Farhan Darwis

Wan Saiful mengakui gabungan Bersatu dan Umno masih baharu dan pengurusannya masih berdepan masalah rumit. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mei 2020.

PERTELINGKAHAN dengan Umno di Johor perlu diselesaikan segera untuk mengelakkan masalah itu merebak ke negeri lain, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Wan Saiful Wan Jan.

Katanya masalah itu boleh menular memandangkan kerjasama dengan Umno dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) antara kedua-dua parti masih mentah.

Oleh itu, sikap mengapi-apikan dan menggalak ke arah perpecahan yang timbul waktu ini perli dihentikan kerana boleh membawa mudarat lebih besar.

“Perbincangan peringkat atasan perlu dilakukan segera kerana situasi di sesebuah negeri akan mempengaruhi negeri lain juga.

“Jangan disebabkan ada yang mahu menjadi hero di satu tempat, habis tempat lain pun rosak sama,” katanya lagi.

Oleh itu masalah berkenaan tidak perlu diapi-apikan lagi oleh pihak yang ada kepentingan peribadi sebaliknya perlu diselesaikan segera.

“Jika para pemimpin ikhlas memperjuangkan agenda penyatuan dan bukan hanya mementingkan diri sendiri, seharusnya mereka berusaha memastikan kesatuan, bukan mengapi-apikan ke arah perpecahan.

“Jangan ada yang menangguk di air keruh sengaja mahu jadi batu api pemecah-belah di peringkat dalaman untuk kepentingan peribadi mereka sahaja,” katanya.

Wan Saiful juga mengakui gabungan parti itu masih baharu dan pengurusannya masih berdepan masalah rumit.

“PN adalah satu gabungan baru, Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu sendiri hanya meluluskan kemasukan ke dalam PN pada 23 Februari lalu, iaitu baru sekitar dua bulan lebih sedikit.

“Sudah pasti dalam masa yang singkat, pengurusan gabungan baru ini agak kompleks,” kata Wan Saiful dalam kenyataannya.

Beliau berkata demikian bagi menyahut pandangan ahli Majlis Tertinggi Umno, Tajuddin Abdul Rahman agar pemimpin kedua-dua parti menamatkan perdebatan mengenai situasi di Johor.

Kemelut yang berlaku di negeri tersebut pada waktu ini dilaporkan berkait dengan lantikan politik dalam agensi kerajaan selepas kerajaan negeri itu bertukar kepada Perikatan Nasional.

Ketegangan antara Bersatu dan Umno di Johor mula timbul apabila Setiausaha Bersatu Johor, Mohd Solihan Badri menggesa parti dalam PN negeri itu tidak memandang ringan pengaruh 11 wakil Bersatu dalam Dun.

Naib Presiden Umno Khaled Nordin kemudiannya dalam kenyataannya berkata, walaupun ada kebenarannya, pembentukan PN di Johor tidak pernah dirancang.

Bekas menteri besar Johor itu berkata, selagi jumlah kerusi menjadi mainan, kedua-dua parti akan kerugian. – 1 Mei 2020., 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen