Putrajaya tidak cukup beri perhatian kepada rakyat biasa, kata Anwar


Bede Hong

Anwar mengulang gesaan agar Parlimen bersidang bagi membolehkan penggubal undang-undang membahaskan kesan wabak tersebut dan juga mengenai pakej rangsangan ekonomi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mei 2020.

WALAUPUN melancarkan beberapa dasar baharu untuk menangani kesan pandemik Covid-19, Putrajaya belum cukup memenuhi keperluan kelas pekerja, kata Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Pemerintah telah banyak berbicara tentang “norma baru” tetapi gagal menangani masalah struktur, katanya dalam webinar mengenai keadaan ekonomi yang dianjurkan oleh Institut Darul Ehsan (IDE).

“Inti daripada isu ini adalah kesejahteraan rakyat baik lelaki mahupun wanita biasa.

“Ahli ekonomi, menteri dan Bank Negara gagal mempertimbangkan hal ini, ketika memutuskan dasar dan mempertimbangkan sama ada ia akan mempengaruhi kesejahteraan hidup rakyat biasa.”

“Mengenai masalah struktur, ia harus merebut peluang untuk penjenamaan semula dan mengubahnya. Inilah masanya untuk laksanakan. Norma baharu tidak bermaksud, anda membuat beberapa penyesuaian kecil tetapi tetap membiarkan cara lama.”

Beliau mengulang gesaan agar Parlimen bersidang bagi membolehkan penggubal undang-undang membahaskan kesan wabak tersebut dan juga pakej rangsangan ekonomi.

Beliau berkata, bantuan kepada rakyat mesti dilaksanakan tanpa menggunakan “cara lama” kronisme.

“Kita perlu renungkan. Parlimen adalah institusi utama dalam hal ini. Ada undang-undang baharu yang harus diperkenalkan.”

“Perbahasan dan perbincangan yang rancak mesti dilakukan. Ahli parlimen mesti memperhatikan pandangan yang diutarakan oleh para pakar, yang ada di lapangan dan masyarakat sivil sehingga mereka memikirkan idea-idea baharu dan tidak berpegang pada norma lama tentang siapa mendapat kontrak dan siapa yang mendapat kelebihan dan siapa yang mendapat peluang untuk diberikan kepada kroni mereka. “

Beliau juga memberikan contoh kerajaan Perikatan Nasional yang melantik pasukan kabinet yang besar dan menyelar tindakan  melantik ahli Parlimen untuk mengetuai syarikat-syarikat yang berkaitan kerajaan ketika waktu krisis.

“Anda bercakap mengenai krisis ... orang-orang berjuang untuk cari makan, tetapi mengapa anda perlukan 72 menteri (dan timbalan menteri)? Mengapa anda perlu, buat dasar, agar ahli politik dan ahli parlimen memegang jawatan dalam GLC?”

Beliau juga merujuk pada penjelasan tidak jelas Bank Negara Malaysia mengenai moratorium enam bulan untuk pinjaman sewa beli (HP) dan pembiayaan Islam dengan kadar tetap dan penjelasan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang pada mulanya tidak mengakui Covid-19 sebagai penyakit pekerjaan.

Bagaimanapun, Anwar menegaskan bahawa beliau akan bekerjasama dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengenai dasar baharu jika ia bermanfaat bagi rakyat.

“Saya memberitahu Muhyiddin jika ia demi kepentingan negara, saya akan sokong, walaupun ia adalah keputusan yang tidak disukai.”

Turut bercakap di webinar tersebut ialah ahli ekonomi Nungsari Ahmad Radhi dan Hafiz Noor Shams serta penasihat kewangan Tan E Hun. – 1 Mei 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen