Kerajaan jamin pemberhentian pekerja di tahap minimum


Diyana Ibrahim

Majikan dan pekerja perlu bertindak dengan bijak dan menerokai idea bekerja dengan cara baharu bagi menghadapi persekitaran pekerjaan baharu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mei, 2020.

JABATAN Tenaga Kerja (JTK) akan memastikan pemberhentian kerja kesan wabak Covid-19 di tahap minimum, kata Menteri di Sumber Manusia M Saravanan.

Katanya, ia melibatkan pelaksanaan program penempatan semula pekerjaan yang akan melibatkan program latihan semula kepada para pekerja yang akan terjejas.

“Pendekatan ini akan memastikan kes-kes pemberhentian pekerjaan berlaku pada tahap minimum,” katanya.

Ia akan dijalankan melalui Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) dan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

“...(Agensi ini) akan menggalas tanggungjawab dalam memastikan dana-dana latihan yang digunakan akan menjurus kepada jaminan pekerjaan,” katanya.

Tambahnya, undang-undang buruh juga akan disemak semula supaya sesuai dengan keperluan semasa, kesan penularan wabak Covid-19.

Katanya, majikan dan pekerja perlu bertindak dengan bijak dan menerokai idea bekerja dengan cara baharu bagi menghadapi persekitaran pekerjaan baharu.

“Kita perlu menerima hakikat bahawa perniagaan, pekerjaan dan kehidupan kita akan berubah kepada satu norma baharu walaupun selepas berakhirnya PKP nanti.

“Amalan seperti penjarakan sosial akan berterusan. Aktiviti komersial akan tertakluk kepada kewujudan zon jangkitan Covid-19, amalan bekerja dari rumah dan prosedur operasi standard yang baharu untuk menggantikan yang lama,” katanya.

Terdahulu perdana menteri mengumumkan hampir kesemua sektor ekonomi dan perniagaan dibenarkan dibuka semula bermula Isnin tertakluk kepada garis panduan dan syarat ditetapkan.

Ia bagi membolehkan rakyat kembali bekerja dan menjamin pendapatan negara kerana negara rugi RM2.4 bilion setiap hari sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasa pada 18 Mac, kata Muhyiddin Yassin. – 1 Mei, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen