RAKYAT tidak dibenarkan melakukan perjalanan rentas sempadan negeri untuk balik ke kampung sempena cuti Aidilfitri, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata demikian ketika mengumumkan kelonggaran yang diberikan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei, depan.
“Pejalanan rentas negeri untuk balik ke kampung semasa cuti perayaan Aidilfitri, maaf, tidak dibenarkan.
“Perjalanan rentas sempadan negeri juga tidak dibenarkan kecuali untuk tujuan hadir bekerja dan pulang semula ke rumah sendiri setelah terkandas di kampung atau di tempat lain,” kata Muhyiddin.
Beliau berkata demikian ketika pengumuman yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen tempatan, sempena sambutan Hari Pekerja, hari ini.
Kelonggaran diberikan kepada sektor ekonomi dan sosial untuk kembali beroperasi, kecuali beberapa sektor dan aktiviti sosial.
Antaranya aktiviti yang tidak dibenarkan termasuklah majlis sosial, kemasyarakatan dan kebudayaan yang melibatkan perhimpunan ramai seperti kenduri, rumah terbuka, majlis berbuka puasa beramai-ramai.
Konsert, persembahan kebudayaan, perhimpunan bulanan jabatan kerajaan dan swasta serta semua bentuk majlis perasmian dan perhimpunan, kata Muhyiddin.
Selain itu, aktiviti kegamaan seperti perarakan keagamaan, solat Jumaat dan semua aktiviti berjemaah atau berhimpun di masjid, surau dan rumah-rumah ibadat juga tidak dibenarkan.
Semua sekolah, kolej dan institusi pengajian tinggi juga masih belum dibuka. – 1 Mei, 2020.
Komen