Kerajaan gesa majikan laksana waktu kerja fleksibel untuk pekerja


Noel Achariam

Kerajaan menggesa majikan melaksanakan waktu kerja fleksibel bagi pekerja bagi mengekang penularan Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mei, 2020.

PERDANA Menteri Muhiyiddin Yassin hari ini berkata majikan perlu membenarkan waktu kerja yang fleksibel untuk kakitangan mereka semasa perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei.

“Ini norma baharu yang kita mesti amalkan. Bincang dengan pekerja. Mana-mana tugas yang boleh dibuat di rumah, buat di rumah. Ini lebih baik.

“Mungkin boleh susun jadual hari bekerja secara selang seli. Hari ini masuk pejabat, esok bekerja dari rumah,” katanya dalam ucapan khas sempena Hari Buruh mengenai perintah kawalan pergerakan (PKP) hari ini.

Muhiyiddin berkata ini juga dapat menyelesaikan masalah penjagaan anak-anak.

“Walaupun pusat-pusat penjagaan kanak-kanak akan dibuka dengan mengamalkan SOP kesihatan yang tertentu, saya tahu ramai ibu bapa yang bimbang untuk menghantar anak-anak mereka.

“Jadi, kalau majikan boleh memberi sedikit kelonggaran kepada pasangan suami isteri yang bekerja untuk datang ke tempat kerja secara selang-seli atau every alternate days, ini boleh membantu menyelesaikan masalah penjagaan anak.”

Muhyiddin juga berkata dengan bergilir bekerja di rumah dan di pejabat adalah baik kerana anak tidak perlu dihantar ke pusat jagaan harian.

“Hanya mereka yang tiada pilihan sahaja menghantar anak mereka. Secara tidak langsung ini dapat mengurangkan jumlah kanak-kanak di pusat penjagaan dan lebih mudahlah untuk penjaga mengurus anak-anak ini mengikut SOP kesihatan yang ditetapkan.”

Beliau juga menggesa majikan mempertimbangkan cadangan pasangan mempunyai anak bekerja secara bergilir di rumah. – 1 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen