Restoran boleh beroperasi semula dengan syarat ketat, kata PM


Restoran mesti meminta pekerja dan pelanggan menjaga jarak fizikal di premis dengan menyusun meja dan kerusi pada jarak sekurang-kurangnya dua meter. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mei, 2020.

RESTORAN boleh mula membuat persiapan menerima pelanggan mulai 4 Mei, apabila sektor ekonomi lain juga dibenarkan dibuka di bawah prosedur operasi standard kesihatan (SOP) yang ketat terhadap penyebaran Covid-19.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, restoran mesti meminta pekerja dan pelanggan menjaga jarak fizikal di premis mereka dengan menyusun meja dan kerusi pada jarak sekurang-kurangnya dua meter.

“Perlu letak notis di setiap meja hanya satu orang, dua orang atau tiga orang dibenarkan makan bergantung kepada saiz meja.

“Buatkan garisan di lantai depan kaunter bayaran. Ukur garisan sekurang-kurangnya satu meter antara satu sama lain.

“Ini untuk memastikan pelanggan beratur dengan jarak sekurang-kurangnya satu meter di depan atau di belakang pelanggan yang lain ketika mereka hendak membuat bayaran,” katanya dalam ucapan khas Hari Buruh berhubung perintah kawalan pergerakan (PKP) hari ini.

PKP masih diteruskan sehingga 12 Mei tetapi Muhyiddin berkata “hampir semua” sektor dan aktiviti ekonomi, kecuali yang melibatkan perhimpunan besar dan kontak rapat, boleh dibuka semula mulai 4 Mei dengan syarat mereka mematuhi SOP kesihatan.

Bagi restoran dan premis makan, katanya semua pekerja mesti memakai topeng muka setiap masa, dan mesti melakukan pemeriksaan suhu badan setiap hari.

Maklumat hubungan pelanggan juga harus direkodkan, agar jika terdapat kes jangkitan Covid-19, pelanggan lain dapat dikesan bagi tujuan menjejaki kontak.

“Kalau semua dah buat begini, pelanggan-pelanggan boleh datang makan di restoran atau beli makanan dengan rasa selamat,” kata Muhyiddin.

PKP beroperasi selama 45 hari sehingga hari ini, dan mengakibatkan kerugian besar bagi industri makanan dan minuman. – 1 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen