Putrajaya usul mansuh hukuman mati kes dadah


Diyana Ibrahim

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said membentangkan RUU Dadah Berbahaya (Pindaan) 2017 di Dewan Rakyat hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 November, 2017.

PUTRAJAYA membentangkan pindaan kepada Akta Dadah Berbahaya 1952 yang akan membolehkan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan bukan hukuman mati mandatori. 

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Dadah Berbahaya (Pindaan) 2017 itu bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

“Bacaan RUU Pindaan Akta Dadah Berbahaya 2017 dibacakan untuk kali pertama.

“Bacaan kali kedua dan ketiga juga pada sesi ini,” katanya di Parlimen hari ini.

Pada Oktober, Jabatan Peguam Negara berkata mereka bersedia untuk membawa draf rang undang-undang untuk meminda Akta Dadah Berbahaya (Rang Undang-Undang) 2017 yang menetapkan hukuman mati mandatori bagi pengedar dadah. 

Peguam Negara Mohamed Apandi Ali berkata, pindaan itu akan membenarkan hakim untuk mengamalkan budi bicara dalam menjatuhkan hukuman mati mandatori. 

Beliau juga memberi contoh kes keldai dadah, di mana mangsa diperdaya dan hanya melakukan perbuatan membawa dadah untuk mendapatkan bayaran, biarpun tidak tahu barang yang dibawa, namun peruntukan hukuman adalah mati mandatori. 

Cadangan memansuhkan hukuman mati mandatori adalah di bawah seksyen 39B Akta 234 supaya mahkamah diberi lebih ruang bagi menggunakan budi bicaranya dalam menentukan hukuman pesalah dadah.

Bagaimanapun, bukan semua individu yang disabitkan atas kesalahan mengedar dadah diberi pengecualian untuk hukuman mati. 

Azalina dalam kenyataannya berkata kuasa budi bicara mahkamah hanya tertakluk untuk menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan tidak kurang lima belas kaki setelah mahkamah mengambil kira beberapa keadaan tertentu.

“Semua pihak perlu melihat pindaan ini sebagai langkah proaktif kerajaan bagi memastikan keadilan sewajarnya kepada mereka yang tidak sepatutnya dijatuhkan hukuman mati mandatori.

“Walau begitu hukuman mati mandatori masih perlu dikekalkan untuk memberi gambaran jelas bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan mereka yang mengedar dadah sehingga menjadi ancaman kepada negara dan rakyat,” katanya. – 23 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen