PENCULIKAN Raymond Koh nampak seperti operasi polis tetapi seorang pegawai kanan polis dalam keterangannya kepada panel siasatan awam Suhakam terhadap kehilangan pastor itu berkata, ia tidak ada kaitan dengan pasukan polis.
Peguam keluarga Koh, Jerald Gomez menyoal Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat hari ini adakah kemungkinan penculikan itu dikaitkan dengan kumpulan jahat dalam pasukan polis.
“Tidak, tidak nampak begitu,” kata saksi.
Gomez terus menyoal adakah Cawangan Khas mungkin terbabit dalam penculikan itu, tanpa pengetahuan Fadzil.
“Sudah pasti tidak,” jawabnya.
Bagaimanapun, Fadzil yang juga saksi ke-10 berkata daripada rakaman video CCTV penculikan Koh, insiden itu nampak sangat teratur, menambah ia sama seperti operasi dijalankan polis.
“Ya, kami ada MO hampir sama. Ia nampak sama menerusi pandangan taktikal. Ia corak yang sama bagi operasi tersusun.
“Saya tidak kata ia operasi polis tetapi polis ada menjalankan operasi dengan cara itu. Mereka (penculik) pastinya terlatih.”
Menyentuh mengenai pakaian digunakan penculik, Fadzil berkata dalam mana-mana operasi polis, pasukan itu perlu ada lencana di pakaian.
“Polis perlu ada lencana dan mengenalkan diri mereka. Jika tidak maka mereka bukan polis.
“Ada yang pakai, ada yang tidak pakai. Saya tidak tahu,” katanya.
Terdahulu, Gomez bertanya Fadzil tentang signal daripada telefon bimbit Koh dan laluan keluar yang mungkin digunakan oleh penculik.
Saksi sebelum ini, ASP Supari Muhammad dalam keterangannya berkata penculikan Koh mungkin dilakukan oleh ekstremis.
Suruhanjaya siasatan Suhakam ditubuh bagi menentukan sama ada kehilangan Koh dan tiga yang lain – Pastor Joshua Hilmy dan isterinya Ruth dan aktivis sosial Amri Che Mat – adalah kes kehilangan paksa, iaitu penculikan yang dibuat dengan kuasa atau sokongan negeri atau organisasi politik. – 23 November, 2017.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan