Muhyiddin dijangka umum PKP lebih longgar esok


Beberapa kelonggaran PKP dijangka diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin esok. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 April, 2020.

LEBIH banyak perniagaan dan pejabat akan dibenarkan kembali beroperasi bermula seawal Isnin ini, sementara orang ramai juga akan diberi sedikit kelonggaran melakukan kegiatan rekreasi yang tidak melibatkan keramaian.

Kelonggaran sekatan perintah kawalan pergerakan itu dijangka akan diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam ucapannya sempena Hari Pekerja esok. 

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, kelonggaran itu diberikan bersyarat dan bukan bermakna PKP yang ditetapkan sehingga 12 Mei ditarik balik.

Kelonggaran bagaimanapun tidak akan diberi kepada perniagaan yang melibatkan perhimpunan orang ramai, kata sumber.

Pawagam, pub dan kelab malam masih tetap ditutup, tambahnya.

Bagaimanapun orang ramai boleh melakukan aktiviti riadah perorangan seperti berlari dan berbasikal, atau bermain badminton dan tenis, kata sumber.

Sumber juga memberitahu pergerakan antara negeri tetap dilarang tanpa kelulusan terlebih dahulu daripada pihak polis.

The China Press sebelum ini melaporkan Muhyiddin dijangka mengumumkan kelonggaran kepada beberapa perniagaan serta perusahaan kecil dan sederhana untuk beroperasi semula, dalam ucapannya esok.

Laporan yang memetik sumber itu juga menyebut Muhyiddin dijangka akan mengumumkan kelonggaran pergerakan di bawah PKP iaitu empat orang dalam sebuah kereta, berbanding dua orang yang dibenarkan bermula semalam (29 April).

Kelonggaran itu dilaporkan sudah dibincangkan dalam mesyuarat kabinet dan dibuat atas nasihat Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan.

Ia bagaimanapun tertakluk kepada beberapa syarat dan tatacara yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan bagi mengelak penularan Covid-19, seperti saringan ke atas pekerja dan menjaga jarak.

Kegagalan pemilik perniagaan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka diarah kembali tutup, kata laporan itu.

Laporan itu juga menyebut kelonggaran ini bagaimanapun bukan menandakan PKP yang sudah dilanjutkan sehingga 12 Mei ini akan dihentikan lebih awal.

Kerajaan sebaliknya akan terus memantau keadaan dan memberi kelonggaran dari masa ke masa, mengikut kesesuaian.

“Kerajaan berharap dengan beroperasinya semula beberapa sektor, pihak di hiliran dan huluan boleh membantu memulihkan ekonomi,” kata sumber.

Sekolah belum buka

Kelonggaran yang dijangka diumumkan esok bagaimanapun tidak melibatkan sekolah kerana ia perlukan perbincangan lain yang lebih mendalam, melibatkan pelbagai pihak yang berkenaan.

Untuk pembukaan semula sekolah dan pembelajaran, kerajaan dipercayai memerlukan masa dua minggu lagi untuk memantau keadaan dan mendengar pandangan pelbagai pihak berkepentingan.

“Sekolah dijangka akan dibuka semula pada paruh pertama Jun,” kata sumber yang dipetik China Press.

Sekolah dijangka akan terus ditutup walapun PKP dilonggarkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 April, 2020.

Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin sebelum ini mengumumkan sekolah terus ditutup dan sekiranya dibuka nanti, terhad untuk pelajar Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 Atas, yang peperiksaan awam mereka telah dianjak sehingga April 2021.

Radzi juga sebelum ini berkata sekiranya sekolah dibuka semula, makluman mengenainya akan diberitahu sekurang-kurangnya dua minggu lebih awal.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kementerian Kesihatan kini memberi fokus kepada sektor ekonomi untuk kembali beroperasi semula, berbanding sektor lain.

“Sektor pendidikan dan sosial kita tangguhkan sekejap, biarkan sektor ekonomi berjalan dulu.

“Kemudian kita akan menilai dan memantau situasi dalam tempoh dua hingga empat minggu untuk mencadangkan sektor sosial dan pendidikan dibuka semula,” katanya dalam sidang media pada Selasa.

Ucapan Muhyiddin akan disiarkan secara langsung melalui televisyen pada jam 11 pagi. – 30 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen