Hari Pekerja paling muram dalam sejarah pekerja Malaysia


Sheridan Mahavera Khoo Gek San

Majikan dan persatuan pekerja meramalkan ramai bakal kehilangan kerja akibat penutupan ekonomi sepanjang pelaksaan PKP dan kesukaran tempoh pemulihan selepas itu. – Gamba fail The Malaysian Insight, 1 Mei, 2020.

SEBELUM pandemik Covid-19 melanda dunia yang menyebabkan hampir semua ekonomi ditutup, Zainul Azman dan isterinya memperoleh pendapatan isi rumah kira-kira RM4,000 sebulan.

Pada Hari Pekerja hari ini, beliau tidak pasti adakah mereka akan masih dapat membawa pulang pendapatan bulanan yang sama walaupun selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) ditamatkan nanti.

Zainul salah seorang daripada dua juta pekerja yang mungkin hilang pekerjaan tahun ini, sama ada ketika PKP atau selepas PKP susulan ekonomi sukar untuk kembali pulih.

Majikan dan persatuan pekerja mengganggarkan jumlah itu mencerminkan skala kehilangan kerja yang akan dialami negara ini akibat penutupan ekonomi sepanjang pelaksaan PKP dan kesukaran tempoh pemulihan selepas itu.

Nasib keluarga Zainul menunjukkan betapa muramnya Hari Pekerja tahun ini, kata Presiden Union Network International-Malaysia Labour Centre (UNI-MLC) Shafie B.P Mammal yang menyifatkannya sebagai sambutan paling teruk dalam sejarah.

“Ia bukan hanya tentang kehilangan kerja yang kita pun tahu, ia sedang berlaku dan akan berlaku,” katanya.

“Ia juga tentang masa depan yang tidak pasti, sama ada pekerja yang hilang kerja dapat mencari kerja baharu dan jika dapat, adakah pekerjaan baharu itu akan dibayar dengan gaji sama seperti kerja sebelumnya.”

Pengalaman Azman adalah kes paling tepat. Sebelum PKP, beliau yang berusia 52 tahun memperoleh RM80 sehari dengan memandu lori membawa bahan untuk tapak pembinaan.

Pekerjaan itu diberikan kepadanya menerusi satu syarikat lain dan sejak PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac, beliau langsung tidak dihubungi oleh syarikat itu.

“Saya tidak tahu sama ada saya akan dapat semula kerja itu selepas PKP. Saya hanya sub kontraktor. Tiada kerja, tiada gaji. Saya belum dihubungi syarikat itu lagi,” kata Azman.

Kilang di mana isterinya bekerja juga ditutup sepanjang PKP tetapi setakat ini majikannya membayar gaji pokok sepanjang PKP.

Shafie berkata pekerja seperti Zainul yang dianggap bekerja dalam sektor tidak formal, antara yang paling teruk terjejas kerana kurang skim perlindungan pekerja, seperti insurans pengangguran.

Malah, isteri Zainul, yang masih ada pekerjaan tetapi tidak bekerja sepanjang PKP kerana tidak selamat, kata Shafie.

“Kami terima laporan yang syarikat secara diam-diam merancang untuk mengurangkan dan memberhentikan pekerja.

“Selepas PKP tamat, syarikat boleh tiba-tiba kata mereka tidak dapat teruskan operasi pada kapasiti penuh dan mereka akan mula memberhentikan pekerja. Jadi kita tidak tahu sejauh mana teruknya keadaan ini hingga tempoh beberapa minggu lagi.” – 1 Mei, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen