KEMENTERIAN Pengangkutan mengesahkan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) akan diserap ke dalam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkuat kuasa 1 Mei, bagi memperkasa dan memantapkan peranannya.
Langkah itu juga tidak melibatkan pembuangan kakitangan, kata kementerian dalam satu kenyataan.
“Kakitangan JKJR akan terus berkhidmat di JPJ bagi menjalankan tugas sebagai peneraju advokasi keselamatan jalan raya demi meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya serta mengurangkan kadar kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya.
“Para kakitangan akan terus memainkan peranan sebagai penyelaras bagi inisiatif-inisiatif baru ke arah peningkatan keselamatan jalan raya,” kata kenyataan itu.
Awal hari ini, The Malaysian Insight melaporkan JKJR akan dirombak besar-besaran dengan ditempatkan di bawah JPJ.
JKJR ditubuhkan pada 15 September 2004 di bawah Kementerian Pengangkutan untuk meningkatkan kesedaran rakyat tentang keselamatan jalan raya, dengan matlamat akhir merendahkan kadar kemalangan.
Ia hanya memainkan peranan sebagai agensi pendidikan dan kesedaran, dan tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan.
Penyerapan JKJR ke dalam KPJ ini dibuat ketika kadar kematian akibat kemalangan masih tinggi iaitu purata 18 kematian setiap hari atau 126 seminggu.
Menurut Kementerian Pengangkutan penyerapan JKJR ke dalam JPJ selaras dengan Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan undang-undang dan peraturan mengenai kawal selia kenderaan di jalan raya.
“Kementerian mengharapkan penyerapan ini akan menambahbaik dan mempertingkatkan lagi urus tadbir jabatan khusus dalam soal keselamatan jalan raya sekaligus membawa manfaat kepada rakyat Malaysia,” kata kenyataan itu. – 30 April, 2020.
Komen