Ubat tradisional Cina bantu pulih bukan rawat jangkitan Covid-19, kata Dr Noor Hisham


Chan Kok Leong

Pakar perubatan China mencadangkan penggunaan herba dan akupuntur hanya untuk mempercepatkan proses pemulihan pesakit Covid-19 bukan untuk merawat jangkitan virus. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 April, 2020.

UBAT tradisional Cina bukan untuk merawat jangkitan pesakit Covid-19, kata Dr Noor Hisham Abdullah

“Ia adalah pelengkap dan untuk membantu proses pemulihan. Ia bukan untuk merawat (jangkitan) pesakit Covid-19,” kata ketua pengarah kesihatan itu pada sidang media harian perkembangan Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Katanya, pakar perubatan China mencadangkan penggunaan herba dan akupuntur hanya untuk mempercepatkan proses pemulihan pesakit Covid-19.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan sama pakar China yang dibawa ke negara ini untuk membantu usaha rawatan Covid-19 mencadangkan ubat tradisional untuk merawat pesakit.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata keyakinan Kementerian Kesihatan juga naik kerana kehadiran pakar perubatan China itu.

“Dalam seminggu, mereka berkongsi pengalaman dengan kita bagaimana untuk mengendalikan dan merawat pesakit dan memberikan kita keyakinan yang tindakan kita berkesan.

“Kita perlu belajar daripada kesilapan dan pengalaman mereka,” kata Dr Noor Hisham.

Menurutnya lagi, pakar perubatan dari Malaysia dan China akan mengadakan persidangan terakhir esok.

Kumpulan pakar lapan orang itu ditubuhkan Suruhanjaya Kesihatan Nasional China dan dipilih oleh suruhanjaya kesihatan daerah Guangdong.

Mereka tiba di Malaysia pada Ahad lalu untuk berkongsi pengalaman China memerangi wabak itu. – 30 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen