Kerajaan rasuah punca Ateis berkembang, kata ahli Parlimen


Diyana Ibrahim

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad mendakwa kerajaan punca kenapa fahaman Ateis berkembang di negara ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 November, 2017.

AHLI Parlimen Shah Alam Khalid Samad mendakwa kerajaan punca kenapa fahaman Ateis berkembang di negara ini.

Beliau berkata keadaan itu berlaku kerana rakyat mula melihat agama menjadi alat yang dipergunakan kerajaan untuk menjustifikasikan perkara salah seperti rasuah.

“Kenapa orang meluat dengan agama sebab mereka lihat agama ini sebagai benda yang diperalatkan kerajaan yang korup dan seleweng.

“Orang melihat agama tidak lagi relevan dan mendatangkan kebaikan pada rakyat dan kebanyakan golongan muda mempertikaikan agama kerana ini,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Khalid juga kesal apabila Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri Asyraf Wajdi Dusuki memberi jawapan politik apabila beliau memberi pandangan mengenai fahaman Ateis.

“Ini jawapan saya tapi malangnya dia bagi jawapan politik,” katanya merujuk kepada sesi pertanyaan lisan di Parlimen.”

Terdahulu, berlaku pertengkaran mulut antara Khalid dan timbalan tersebut.

Khalid dalam soalan tambahannya meminta pandangan Asyraf adakah beliau bersetuju salah satu cara mengekang fahaman Ateis adalah dengan menunjukkan Islam sebenar seperti menolak rasuah terutama kes melibatkan 1Malaysia Development Berhad.

“Saya kesian yang berhormat Shah Alam nampak gaya kena balik pada muka waktu dia bersama parti sebelum ini yang banyak guna Islam,” kata timbalan menteri itu.

Jawapan timbalan menteri menyebabkan pemimpin Amanah itu melenting dan berlakunya pertengkaran mulut sehingga ditenangkan Speaker Pandikar Amin Mulia.

Terdahulu Asyraf bersetuju bahawa fahaman Ateis amat berbahaya bahkan dianggap bercanggah dengan prisip Perlembagaan dan Rukun Negara.

“Kita harus faham dalam konteks Malaysia Perlembagaan Persekutuan kita menyatakan bahawa kebebasan beragama itu bukan bermakna kebebasan untuk tidak beragama.

“Kerana  ia amat tidak berperlembagaan untuk menyatakan kita tidak boleh menyebarkan pemahaman tidak beragama di dalam konteks negara ini,” katanya menjawab soalan dari Ahli Parlimen Kota Raja Siti Mariah Mahmud.

Timbalan menteri itu juga berkata kerajaan juga boleh mengenakan tindakan undang-undang untuk menyekat penyebaran doktrin dengan alasan mengugat kesucian agama Islam.

Tambahnya lagi, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) membuat laporan di Facebook mengenai kewujudan kumpulan tersebut yang menyebarkan fahaman menerusi laman sosial.

“Setakat ini mereka bergerak melalui media sosail, khususnya Facebook , pihak Jakim telah bekerjasama dengan SKMM untuk membuat laporan di FB namun malangnya pihak FB tidak dapat mmbuat sekatan kerana ia bertentangan dengan polisi laman sosial itu.” – 23 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen