TINJAUAN lebih 1,000 rakyat Malaysia menunjukkan hampir separuh daripada mereka mengalami tekanan, kegelisahan dan kemurungan semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) terutamanya golongan wanita, remaja dan mereka yang tinggal di rumah kos rendah.
Mereka yang tinggal bersendirian dan dalam unit mempunyai lebih ramai penghuni juga mengalami tahap emosi negatif lebih tinggi, menurut tinjauan kumpulan pemikir, The Center.
Tinjauan terhadap 1,084 responden bertujuan untuk mengukur kemerosotan tahap kesihatan mental akibat PKP yang kini sudah masuk hari ke-56.
Ia dilakukan antara 5 hingga 10 April oleh Aziff Azuddin dan Dr Idlan Zakaria dengan rundingan bersama pakar psikiatri dan psikologi.
PKP yang laksanakan untuk memutuskan rantai penularan koronavirus, menutup sebahagian besar ekonomi dan melarang rakyat ke luar rumah kecuali membeli makanan, barang keperluan atau mendapatkan bantuan perubatan.
Kesan terkurung di rumah menyebabkan 48% responden kajian berkata mereka mengalami tahap kegelisahan yang berbeza-beza, 45% berkata mereka berasa tertekan dan 34% mengatakan mereka mengalami tahap tekanan yang berbeza.
“Daripada jumlah ini, 22% responden melaporkan kegelisahan yang teruk dan sangat teruk, dengan 20% dan 15% mengalami tahap kemurungan dan tekanan yang sangat membimbangkan,” kata penulis kajian itu.
Tinjauan ini menggunakan kaedah pensampelan bola salji (snowball sampling) dengan 76% responden berasal dari Selangor dan Kuala Lumpur sementara 81% daripadanya dikenal pasti sebagai Melayu atau Bumiputera.
Kaum wanita yang terdiri daripada 66% daripada jumlah yang dikaji, melaporkan mengalami tahap kemurungan, kegelisahan dan tekanan yang lebih tinggi berbanding lelaki.
Kira-kira 49% responden wanita berkata mereka berasa tertekan berbanding 46% bagi lelaki, sementara 48% berkata mereka mengalami kegelisahan berbanding 38% bagi lelaki. – 30 April, 2020.
Berita penuh di sini
Komen