Kementerian hanya terima 1 aduan rasmi larangan bertudung, kata menteri


Asila Jalil

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Nazri Aziz berkata kementeriannya setakat ini hanya menerima satu aduan rasmi berhubung larangan bertudung bagi wanita Islam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 November, 2017.

KEMENTERIAN Pelancongan dan Kebudayaan menerima satu aduan rasmi berkenaan larangan bertudung, kata menterinya Nazri Aziz.

Belia berkata maklumat mengenai aduan itu sedang diperoleh untuk membantu siasatan.

“Kementerian mendesak hotel untuk menyemak semula polisi mereka bagi memastikan ia bersesuaian dengan agama dan budaya negara kita.

“Polisi seumpama itu tidak boleh diterima terutama jika ia dilaksanakan di Malaysia,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Semalam, Nazri berkata menjadi hak individu untuk memakai tudung dalam apa juga sektor pekerjaan, termasuk penerbangan, dan ia tidak boleh dikompromikan.

Beliau berkata perkara itu juga tidak terhad kepada Muslim saja kerana bukan Muslim juga turut mengalami diskriminasi seumpama itu.

“Dan sekatan ini bukan saja untuk Muslim. Pernah anda lihat lelaki Sikh yang bekerja di kaunter depan, dan pakai serban? Tidak ada.

“Saya percaya mereka (lelaki Sikh) juga menderita dalam diam. Saya percaya ini juga syarat yang mungkin dikuatkuasakan terhadap lelaki Sikh,” kata Nazri semalam.

Nazri berkata Persatuan Hotel Malaysia sepatutnya menasihatkan hotel, bukannya mengatakan larangan bertudung itu amalan antarabangsa.

“Ada perkara yang tidak boleh dirunding. Jika kami, ahli Parlimen tidak sanggup memperjuangkan hak, jadi bagaimana kami hendak mewakili rakyat Malaysia di Dewan Rakyat,” katanya ketika respons terhadap Raja Kamarul Bahrin Shah (Kuala Terengganu-Amanah) yang berkata kementerian perlu ambil tindakan proaktif menangani isu larangan bertudung. – 23 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen