Penggiat seni bergelut hadapi masa depan kelam


Aminah Farid

Aniq Durar berkata sejak pertunjukan dibatal atau ditangguh, beliau bergantung pada dana bantuan kerajaan dan sokongan keluarga untuk terus hidup. – Gambar Facebook, 30 April, 2020.

PENGGIAT seni persembahan kini berdepan dengan masalah kewangan dan masa depan yang tidak menentu selepas semua panggung persembahan ditutup susulan sekatan untuk membendung pandemik Covid-19.

Sesetengah mereka membuat pertunjukan melalui media sosial namun tanpa pulangan kewangan, sementara sesetengah yang lain terus cuba bertahan.

Aniq Durar memberitahu The Malaysian Insight sejak pertunjukan dibatal atau ditangguh, beliau bergantung pada dana bantuan kerajaan dan sokongan keluarga untuk terus hidup.

“Sudahlah jadi artis persembahan pun cukup makan, terutama di Malaysia, dengan wabak dan sekatan ini, jadi makin susah,” katanya.

“Kerja saya termasuk secara sambilan menjaga kaunter terlibat dengan kerja berdepan dengan orang ramai, yang boleh menyebarkan virus.”

Aniq mengaku tertekan kerana tidak bekerja untuk menyara hidup dan sebaliknya terpaksa bergantung pada bantuan.

“Minat adalah keutamaan terakhir kerana saya fikirkan sekarang ialah bagaimana hendak makan,” katanya.

Awal tahun ini, Aniq terlibat dalam dua persembahan, salah satunya “Malam Sayu Berpuisi” oleh Kuala Lumpur Performing Arts (klpac).

Dalam persembahan yang mengangkat tema Wawasan 2020 itu beliau menampilkan naratif rakyat Sarawak yang terpinggir dan cuba menghubungkan antara Semenanjung dan wilayah di Borneo.

Satu lagi persembahan ialah untuk pelancaran program ijazah konservatori dalam seni persembahan di bawah Universiti Taylor dengan kerjasama The Actor’s Studio yang diasaskan oleh Faridah Merican dan Joe Hasham.

Minggu lalu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian, Nancy Shukri mencetuskan kecaman apabila berkata mereka yang terlibat dengan seni “mudah” untuk menyesuaikan diri dalam keadaan sekarang.

Beliau berkata demikian dalam satu wawancara dengan Astro Awani. 

Farah Rani bimbang lebih banyak pertunjukan dibatalkan dan belum ada bayang bila anak seni boleh kembali ke pentas. – Gambar ihsan Farah Rani, 30 April, 2020.

Menteri itu memberikan contoh bagaimana mereka boleh menyertai pertandingan nyanyian anjuran kementeriannya semasa disoal mengenai nasib tidak menentu penggiat seni dalam keadaan ekonomi sekarang.

“Saya marah… kita ada menteri yang tidak tahu realiti di bawah, yang tidak cekap atau tidak minat untuk betul-betul membantu,” kata pelakon teater Farah Rani. 

Farah juga sebelum ini terlibat dalam persembahan improvisasi di sebuah kelab komedi, yang bagaimanapun sudah membatalkan persembahan bulanannya sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) berjalan.

“Sebagai penggiat seni persembahan di Malaysia, saya sudah sedia bergelut dengan kewangan sebelum PKP pun,” katanya. 

“Saya sedia kerana untuk suatu tempoh yang tidak tentu, saya tidak boleh duduk di panggung dan menonton persembahan secara langsung. Saya bimbang dengan nasib kumpulan teater.

“Masa depan tidak menentu,” katanya.

Pada tahun ini, Farah sepatutnya terlibat mementaskan semula “Gold Rain and Hailstones” bersama Instant Cafe Theatre pada September, dan “Mixtape for Maz” bersama Studio Seni Teater Rakyat pada November.

Farah yang berasal dari Kuala Lumpur juga bimbang kerana dari masa ke masa lebih banyak pertunjukan dibatalkan dan belum ada bayang bila beliau boleh kembali ke pentas.

Theyvapaalan Jayaratnam juga berkongsi pandangan Farah.

“Semua kerja saya yang selama ini menampung sewa rumah sudah tangguh tak tahu sampai bila. Saya kecewa,” katanya.

Tidak seperti sesetengah penggiat lain yang masih boleh cari makan kerana ada kerja tetap, Theyvapaalan berkata beliau dan beberapa rakannya bekerja sepenuh masa sebagai penggiat seni. 

Mereka sekarang hidup atas simpanan, katanya.

“Tapi jadi penggiat seni di Malaysia bukannya boleh menyimpan banyak. Malaysia tidak menghargai penggiat seni. Kita berebut untuk dapat gaji yang lebih baik,” katanya, yang berasal dari Pulau Pinang.

Sementara itu, Tess Pang yang juga penggiat seni bebas berkata sekatan ini bukan saja memberi kesan kepada mereka yang muncul di pentas tetapi seluruh tenaga produksi di balik tabir.

“Kebanyakannya kerja sambilan dan sekarang ini semuanya tidak bekerja.

“Semua, daripada penerbit, pengurus panggung, pereka tatacahaya, bunyi dan krew teknikal, pereka kostum, pereka set… semua orang tiada kerja.

“Ya, memang boleh buat dalam talian tetapi cabarannya besar dan akan ambil masa. Kebanyakan kami tiada simpanan,” katanya.

Tess, 28, menyelar sikap tidak acuh menteri seni dan budaya yang tidak menawarkan penyelesaian kepada masalah yang ada, sebaliknya menyebut soal pertandingan nyanyian.

“Beginikah kerajaan melihat seni dan penggiat seni? Mengarut,” katanya. – 30 April, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen