PENEROKA Felda dan waris disarankan menyemak hutang mereka dengan Felda susulan kontroversi Perjanjian Tanam Semula yang kini menjadi buah mulut pelbagai pihak, kata aktivis menjelang tindakan mereka mencabar perjanjian itu ke mahkamah.
Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda (Anak) Mazlan Aliman berkata langkah itu perlu untuk mendapatkan gambaran sebenar hutang peneroka bagi memperkuatkan kes mereka.
“Setiap peneroka perlu menyemak berapa sebenarnya hutang tanam semula mereka dengan Felda,” katanya.
Kenyataan Mazlan dibuat ketika peguam sedang mengkaji tindakan mahkamah terhadap apa yang disebut sebagai perjanjian berat sebelah itu.
Pemimpin Pakatan Harapan pula sedang berusaha menjadikan Perjanjian Tanam Semula ini sebagai isu di 56 kawasan Parlimen di seluruh negara di mana peneroka menjadi penentunya.
Kini terdapat 112,635 peneroka Felda di seluruh tidak termasuk anak dan isteri masing-masing.
Seorang peneroka, Dr Zulqarnain Luqman berkata 95% peneroka Felda menandatangani perjanjian itu bagi membolehkan Felda membuat tanam semula bagi pihak mereka.
Kerja menanam semula berjalan selama tiga tahun sebelum pokok kelapa sawit mengeluarkan hasil.
Ketika itu, setiap peneroka dibayar elaun sara hidup RM1,500 yang sebenarnya hutang peneroka dengan Felda.
Bagaimanapun, selepas tiga tahun Felda terus menguruskan ladang itu termasuk memetik buahnya, kata seorang anak peneroka Hisommuddin Bakar.
“Felda tidak mengembalikan ladang itu kepada peneroka dengan alasan mereka perlu membayar hutang terlebih dulu yang mencecah puluhan atau ratusan ribu ringgit,” kata Hisommudin.
Presiden Anak mendakwa peneroka mahu mengambil alih ladang mereka kerana kecewa dengan kelemahan pengurusan kebun mereka yang menyebabkan hasilnya rendah.
Mazlan berkata mereka yang menguruskan sendiri ladang mereka mendapat hasil bulanan yang lebih baik manakala hutang mereka pula rendah.
Katanya, selepas 20 tahun menyertai skim Felda itu, mereka sepatutnya menerima geran tanah mereka.
“Apabila perjanjian tanam semula ini datang, maka Felda mengikat semula peneroka dengan hutang baru dan kali ini boleh sampai anak cucu,” katanya.
Mazlan berkata masalah yang menghantui peneroka apabila hutang tinggi menyebabkan pendapatan mereka rendah, kerana terpaksa membuat potongan yang banyak untuk membayar hutang.
Latar belakang Felda
Felda (Federal Land Development Authority atau Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan) merupakan legasi perdana menteri kedua, Tun Abdul Razak, yang mempunyai objektif utamanya, iaitu menyediakan tanah bagi mereka yang tiada tanah serta peluang pekerjaan kepada mereka.
Diwujudkan pada 1 Julai, 1956 di bawah Ordinan Pembangunan Tanah (1956), agensi kerajaan ini juga mempunyai mandat untuk membasmi kemiskinan serta menstrukturkan semula masyarakat pelbagai golongan etnik ini.
Susulan program pembangunan ini, ramai peneroka yang menikmati kehidupan yang selesa kerana ia merupakan tujuan Felda untuk menentukan pergerakan sosial (social mobility) khususnya dalam kalangan komuniti Melayu yang miskin.
Melalui Felda juga peneroka menikmati kemudahan kesihatan dan pendidikan bagi keluarga masing-masing.
Pengkaji Khor Yu Leng berkata secara keseluruhannya, Felda berjaya memindahkan semula 120,000 keluarga dari 1959 hingga 1990, serta membangunkan 470,000 hektar kebun kecil peneroka dan 340,142 hektar perladangan komersial.
Memandangkan betapa luasnya kawasan Felda ini serta golongan peneroka yang besar, maka tidak hairanlah kenapa perkembangan yang berkaitan dengan peneroka Felda mendapat tempat utama bagi kepimpinan negara, khususnya pemimpin Umno.
Bekas ketua penerangan Umno Ahmad Maslan pernah berkata pada 2010 bahawa kawasan Felda mempunyai sekitar 9% daripada 13 juta pengundi berdaftar. – 23 November, 2017.
Komen