PUTRAJAYA akan merombak Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) untuk ditempatkan di bawah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), berkuat kuasa seawal minggu ini, kata sumber
The Malaysian Insight difahamkan pengumuman mengenainya akan dibuat sebelum atau pada Jumaat ini.
Seorang pengarah JKJR negeri memberitahu perkara itu masih dalam perbincangan, sementara seorang lagi pengarah negeri enggan mengulas sehingga pengumuman rasmi pada atau sebelum 1 Mei.
“Buat masa masa ini saya tidak dapat memberi sebarang komen berhubung dengan maklumat tersebut. Perkara tersebut masih dalam perbincangan dan sebarang pengumuman rasmi akan dibuat dalam masa terdekat tuan.
“Sebenarnya bukan pembubaran… (tetapi) penggabungan. Apa-apa pun kami tunggu pengumuman rasmi pada atau sebelum 1 Mei 2020,” kata seorang pengarah JKJR negeri yang enggan dinamakan kepada The Malaysian Insight.
Seorang lagi pengarah negeri berkata pengumuman itu akan dibuat oleh Kementerian Pengangkutan.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Mohd Nasri Ishak yang dihubungi enggan memberi sebarang komen.
“Maaf, tidak dapat bagi apa-apa kenyataan pada masa ini,” katanya.

JKJR ditubuhkan pada 15 September 2004 di bawah Kementerian Pengangkutan untuk meningkatkan kesedaran rakyat tentang keselamatan jalan raya, dengan matlamat akhir merendahkan kadar kemalangan.
Ia hanya memainkan peranan sebagai agensi pendidikan dan kesedaran, dan tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan.
Khabar mengenai rombakan ini muncul ketika kadar kematian akibat kemalangan masih tinggi iaitu purata 18 kematian setiap hari atau 126 seminggu.
Bekas pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Lee Lam Thye bagaimanapun berkata sama ada bubar atau tidak, usaha meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan jalan raya mesti diteruskan.
“Isunya bukan bubar atau tidak. Itu bukan isu yang sangat penting. Yang paling penting ialah pendidikan, kesedaran, advokasi keselamatan jalan raya mesti diteruskan, bermula di peringkat sekolah.
“Sekiranya dirasakan ada keperluan untuk bubar (JKJR) dan digabung di bawah JPJ, pendidikan keselamatan jalan raya tidak boleh digugurkan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
The Malaysian Insight difahamkan rombakan ini akan melibatkan 160 kakitangan, termasuk sebahagian kakitangan kontrak yang diserap dari Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang dibubar oleh pentadbiran Pakatan Harapan pada 2018.
Bagaimanapun tidak semua 160 kakitangan terlibat akan dipindahkan ke JPJ. Ada yang akan ditempatkan ke kementerian atau jabatan lain, atau diletakkan dalam sistem pool Jabatan Perkhidmatan Awam. – 30 April, 2020.
Komen