Kempen BMF mahu kerjasama dengan kerajaan agih bantuan Covid-19


Zaim Ibrahim

Kempen Buy Muslim First yang dahulunya mendapat sambutan kini mahu membantu kerajaan mengedarkan bantuan sepanjang PKP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 April, 2020.

BADAN masyarakat yang menjalankan kempen utamakan barangan keluaran Muslim (BMF) sedia bekerjasama dengan agensi kerajaan untuk mengagihkan bantuan kepada rakyat yang memerlukan yang terjejas akibat perintah kawalan pergerakan (PKP), kata jurucakap kempennya.

Ketua jawatankuasa kempen BMF, Mohd Izzat Mohd Johari berkata agihan bantuan dana zakat hampir RM172 juta untuk bencana penularan Covid-19 wajib digunakan untuk membeli produk Muslim.

Katanya, mereka yang terlibat wajib berusaha membeli produk keluaran Muslim.

“Wajib berusaha bermakna pusat zakat kena mencari produk Muslim sehabis baik dahulu sebelum membuat keputusan membeli produk bukan Islam. 

“Jangan sekadar melepaskan batuh di tangga. Kerja memberi barangan keperluan asas bukannya baru dilaksanakan minggu lepas… sudah berzaman. 

“Kenapa saya boleh cari 100% produk Muslim untuk diberikan kepada keluarga memerlukan?” katanya kepada The Malaysian Insight.

Data daripada Sekretariat Pengurusan Zakat Negeri setakat 12 April lalu menunjukkan sebanyak RM171.84 juta dana zakat telah diagih ke seluruh negara oleh institusi zakat negeri khusus bagi bantuan berkaitan Covid-19.

Agihan itu hanya melibatkan bantuan Covid-19 dan tidak termasuk bantuan sedia ada yang lain.

Jawatankuasa Kempen Buy Muslim First mahu kerajaan mengutamakan produk Islam dalam bantuan PKP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 April, 2020.

Jawatankuasa kempen BMF dibentuk di bawah Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), sebuah gabungan badan masyakarat Islam yang ditubuhkan sejak 2006.

Izzat dalam satu kenyataan minggu ini berkata pengusaha produk Muslim mampu menyediakan bekalan barangan keperluan asas jika kerajaan memberi mereka peluang untuk terlibat dalam agihan bantuan Covid-19.

“Syarikat beras, tepung gandum, gula dan lain-lain, semuanya perlukan ruang dan peluang untuk bekerjasama. Inilah kesatuan yang dibuat oleh pihak jawatankuasa kempen BMF selama kempen ini berlangsung,” katanya.

Kempen Buy Muslim First kini mahu kerajaan mengutamakan produk Islam dalam bantuan PKP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 April, 2020.

Kempen utamakan barangan Muslim bermula pada 2018 susulan kesedaran umat Islam terhadap sumber makanan yang halal dan bersih namun tiada sambutan yang memberangsangkan. 

Ia hanya kembali hangat ketika kontroversi tulisan Jawi di sekolah jenis kebangsaan dan polemik mengenai pendakwah bebas dari India, Dr Zakir Naik – dua isu yang secara tidak langsung turut menonjolkan kesedaran identiti Melayu-Islam yang tinggi.

“Dengan nilai RM171.84 juta ini, kita sekali gus dapat mencipta rantaian ekosistem perusahaan pertanian, perikanan dan pengilangan produk asas Muslim.

“Setiap rantaian perniagaan ini bakal menyumbang kembali dalam bentuk zakat perniagaan. Betapa indahnya ekonomi Islam,” kata Izzat, dalam satu kenyataan.

Izzat juga menjelaskan pihaknya bukan menuntut bayaran kos tertentu sebagai syarat kerjasama sebaliknya sedia menerima “bayaran seikhlas hati” kerana bagi mereka ini adalah satu jihad ekonomi.

Pemimpin Melayu, Islam tidak sokong BMF

Sementara itu, Izzat kesal melihat ada pemimpin PAS yang membeli barangan di kedai peniaga bukan Muslim untuk bantuan kepada rakyat semasa PKP berjalan, dan menegur mereka secara terbuka di Facebook

“Kenapa dulu mereka ini lantang kempen BMF, apabila ada kuasa ada keupayaan, kenapa beli di kedai bukan Islam? Dulu awak lantang sokong BMF, tiba-tiba sekarang lain pula,” katanya.

Pada 15 April lalu, Izzat menegur Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man yang didakwanya berbelanja di sebuah pasar raya milik bukan Muslim di Jerantut, Pahang.

Seminggu sebelum itu, pengendali laman Facebook milik Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria memuat naik gambar petugas pusat khidmat wakil rakyat itu membeli barangan di kedai borong bukan Muslim.

“Waktu kerajaan sebelum ini, kempen BMF disokong beberapa NGO dan parti seperti PAS, Umno, dan Berjasa tetapi kini ada kesangsian dengan apa yang dicakap dahulu dan sekarang,” kata Izzat.

Penggerak kempen Buy Muslim First mahu orang Islam mengutamakan produk Islam ketika membeli sepanjang PKP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 April, 2020.

Seorang petugas pusat khidmat Razman kemudian menjelaskan mereka membeli gula dan tepung dan tepung di kedai borong itu kerana harganya murah dan boleh dapat kuantiti yang lebih.

Bagi Izzat, beliau tidak terkejut dengan sikap pemimpin politik terhadap BMF kerana baginya ahli politik memang sering bertukar wajah.

“Tidak kira parti PAS, Umno, Amanah, PKR atau DAP pun, jika dia Islam, saya yakin jauh di hatinya sokong elemen BMF.

“Kami tegur sebab sayangkan pemimpin-peminpin Islam, bukan kerana  parti,” tambahnya.

Dalam pada itu, Izzat berkata apa pun cabarannya, pihaknya akan meneruskan kempen BMF termasuk ketika PKP berjalan.

Mereka misalnya dari masa ke masa menyenaraikan produk keluaran Muslim yang ada di pasaran untuk rujukan pengguna.

“Kempen tetap berjalan malah beberapa produk Muslim laku waktu PKP contohnya tepung gandum, mee kuning, dan bihun. 

“Unit pengeluaran hadapi masalah sebab terlalu banyak permintaan. Mungkin orang kata kempen kita kendur tapi hakikatnya, produk Muslim dapat banyak permintaan,” katanya. – 29 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen