Pesakit Covid-19 di HKL akan dipindahkan, kata Dr Noor Hisham


Chan Kok Leong

Pesakit kes ringan Covid-19 dari HKL akan dipindahkan ke hospital sementara di Maeps, Serdang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 April, 2020.

PESAKIT Covid-19 dari Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL) akan dipindahkan ke tempat lain untuk membolehkan ia menguruskan kes bukan Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

“Kes pesakit ringan Covid-19 dari Hospital Besar Kuala Lumpur akan dipindahkan ke hospital sementara di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah Maeps (di Serdang).

“Kes teruk pula akan dipindahkan ke Hospital Sg Buloh,” katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Katanya, tujuan pemindahan itu adalah untuk membolehkan HKL memberikan tumpuan merawat pesakit penyakit lain.

“Walaupun kita ada tujuh hospital Covid-19 dan 33 hospital hibrid, perkhidmatan perubatan kita masih diteruskan dan kita masih perlu buat pembedahan kecemasan dan rawatan pesakit kanser.

“Hanya pembedahan elektif ditangguhkan atau dipindahkan ke hospital lain,” kata Dr Noor Hisham.

Katanya, pada masa sekarang KKM boleh memindahkan pesakit Covid-19 keluar dari HKL kerana jumlah kes sudah berkurangan dan mencapai tahap boleh urus.

“ICU dan penggunaan alat bantuan pernafasan juga sudah berkurangan,” tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan media sama ada hospital akan mula mengurangkan masa bekerja pekerja perubatan yang merawat Covid-19 susulan penurunan kes aktif yang kini sebanyak 1,758.

Kata Dr Noor Hisham lagi, Malaysia kini memasuki fasa pemulihan selepas melepasi fasa kemuncak jangkitan pada 3 April lalu dengan jumlah kes jangkitan tertinggi direkod sehari iaitu sebanyak 217 kes.

Hanya 94 kes baharu dilaporkan hari ini membawa kepada jumlah kes Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 5,945. – 29 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen